Isu Tengku Zafrul: Pemuda Pas Pahang jangan jadi batu api
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Pemuda Pas Pahang dikecam kerana cuba mengaitkan isu Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikatakan ingin menyertai KEADILAN dengan Kerajaan Perpaduan di Pahang.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Indera Mahkota, Ts Ahmad Saifullah Razali, berkata isu Tengku Zafrul adalah urusan dalaman KEADILAN pusat dan tiada kena mengena dengan politik Pahang.
"Kami ingin menegaskan bahawa isu ini adalah urusan dalaman parti di peringkat pusat, dan langsung tidak ada kaitan dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang.
"Cubaan mengheret Kerajaan Negeri dalam isu ini adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

"Penyertaan Tengku Zafrul adalah keputusan peribadi beliau dan tertakluk kepada proses yang ditetapkan oleh parti, seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung KEADILAN.
"Perkara ini langsung tidak memberi kesan kepada dasar, pendirian, atau keutamaan KEADILAN di peringkat negeri, terutamanya di Pahang," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Pemuda Pas Pahang agar tidak menjadi batu api atau “batu ronson” dalam hal berkenaan.
"Sebagai pemimpin muda, saya mengingatkan Pemuda Pas agar tidak terus menjadi “batu ronson” yang menyalakan api kebencian dan perpecahan.
"Rakyat sudah muak dengan politik menuding jari dan taksub fitnah yang langsung tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negeri," katanya lagi.
Tegas beliau, AMK Indera Mahkota berpegang teguh kepada prinsip politik matang dan sejahtera. Fokus AMK seharusnya kekal kepada usaha membangunkan rakyat, mengangkat suara anak muda, dan memperkukuh kestabilan negara.
Semalam Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, tindakan Zafrul mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO dan membayangkan hasrat menyertai KEADILAN keretakan antara parti parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, langkah itu turut memberi kesan langsung terhadap kestabilan politik negeri Pahang, yang ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama antara Umno dan Pakatan Harapan.