Isu tanah Kg Sg Baru: Kerajaan PN benarkan pengambilan dengan harga rendah
- Suara Keadilan

- Sep 18
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad sekali lagi tampil memberikan penjelasan berhubung isu pengambilan tanah penduduk di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang terus dihimpit dengan pelbagai kontroversi.
Katanya, isu sebenar di kampung berkenaan bukanlah penduduk tidak bersetuju pembangunan semula rumah tetapi lebih kepada pampasan yang dibayar kepada pemilik premis dan mengenai penggunaan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada 2021, bukan isu sampingan lain sebagaimana didakwa di media sosial.
Hal itu, katanya berkaitan tindakan Menteri Wilayah era PN yang terburu buru menggunakan APT 1960 dan tidak mengkaji nilai pampasan yang sepatutnya diterima oleh pemilik premis yang tidak bersetuju dengan pampasan yang pihak pemaju tawarkan sebelum itu.
''Yang menjadi pertikaian ialah kenapa Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ketika zaman saya (jadi menteri) buat penilaian atas tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) yang 'super malay reserve', penilaiannya adalah RM650 hingga RM850 sekaki persegi?
''Tapi Kampung Sungai Baru yang pegangan pajakan (leasehold) bukannya tanah rizab Melayu yang orang antarabangsa nak beli pun boleh, dibuat penilaian RM450 satu kaki persegi?
''Saya dah ajukan soalan ini berkali-kali malangnya tak dijawab, bahagian yang sama di (JPPH), tempoh masa pun hanya beza mungkin dalam dua tahun tapi untuk tanah Kampung Baru yang di bawah MAS (rizab Melayu), penilaiannya berjumlah RM650 hingga RM850 bergantung kepada lapisan (lokasi rumah-rumah).
''Tetapi di Kampung Sungai Baru (status pegangan pajakan), hanya diberikan penilaian RM450 satu kaki persegi. (Lokasi rumah itu) merupakan lapisan pertama selepas kita turun dari Pintasan Saloma,'' katanya dalam satu sidang media semalam.
Khalid turut mendakwa isu itu tidak ditangani secara serius dan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN), ia seolah-olah tidak diendahkan.
''Maknanya eksekutif tidak campur tangan, sedangkan sepatutnya campur tangan kerana bila digunakan APT 1960, eksekutif sudah campur tangan.
''Penilaian daripada JPPH sangat rendah. Lebih rendah berbanding tanah MAS dan akhirnya mereka mendapat pampasan terlalu rendah.
''Ada pemilik yang dapat pampasan RM2 juta untuk rumah teres lot tepi, tapi sepatutnya dia dapat RM8 juta,'' kata Khalid lagi.
Bagaimanapun, selepas pengambilan dibuat pada 2021 itu, tambah Khalid, isu menaikkan pampasan hanya boleh diuruskan di mahkamah.
Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 - 2020 tidak terlibat dalam isu penggunaan APT 1960 dan Kerajaan Perpaduan pada waktu ini hanya mengambil alih pemerintahan pada November 2022, selepas isu pengambilan selesai diwartakan.









Comments