Isu takhta: AMK Negeri Sembilan tuntut kerajaan BN-PN beri penjelasan


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan menuntut penjelasan Kerajaan Negeri berhubung perubahan pendirian mengenai proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, termasuk dakwaan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebelum ini bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan.
Ketua AMK negeri, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar (gambar) berkata, persoalan itu timbul susulan pendirian MB Ismail yang sebelum ini yang dilaporkan mempertikaikan kesahan proklamasi berkenaan selain mendakwa tandatangannya diperoleh di bawah tekanan.
"Menteri Besar turut membuat laporan polis berhubung perkara itu, namun Kerajaan Negeri (kenyataan barisan Exco) kini mengambil pendirian bahawa proklamasi berkenaan adalah sah.
"Apa yang berubah? Siapa yang memberi tekanan? Apakah status laporan polis? Dan apakah pendirian sebenar Umno Negeri Sembilan?
"AMK Negeri Sembilan menuntut penjelasan yang terbuka dan bertanggungjawab kepada rakyat," katanya menerusi satu kenyataan.
Hamizan berkata, pihaknya turut mendesak MB Ismail dan seluruh barisan Exco meletakkan jawatan serta-merta berhubung krisis takhta berkenaan, serta menggesa PDRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap segala dakwaan berkaitan tekanan, dokumen dan proses proklamasi tersebut.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa institusi Raja bukan alat politik dan takhta serta Perlembagaan Negeri Sembilan wajib dihormati.
Semalam, Exco Negeri Sembilan dalam sati kenyataan dilapor membuat keputusan bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Kenyataan yang dilapor media mendakwa perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, laporan terbaharu media menyebut bahawa, Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan yang dirujuk dalam hal hal adat sekali lagi menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin berkata tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang oleh baginda secara sah.
Menurutnya, DKU mengalu-alu kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail pada 15 September lalu yang menegaskan bahawa beliau selaku Menteri Besar tidak mempunyai kuasa 'unilateral' untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.




Comments