top of page

Isu Taiwan: PM Anwar hanya ulang dasar Malaysia sejak 1974

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 3 min read
Hubungan diplomatik Malaysia - China mensyaratkan negara ini mengiktiraf polisi satu China
Hubungan diplomatik Malaysia - China mensyaratkan negara ini mengiktiraf polisi satu China

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China bukan pendirian baharu kerajaan, sebaliknya konsisten dengan dasar Satu China yang dipegang Malaysia sejak hubungan diplomatik dengan Beijing diwujudkan pada 1974.


Pengamat politik Adrian Lim Chee En berkata pendirian itu turut dikekalkan oleh kerajaan terdahulu termasuk ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Menurutnya, perkara itu jelas apabila Najib sendiri bersama Perdana Menteri China ketika itu, Li Keqiang menandatangani Komunike Bersama sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Beijing pada 31 Mei 2014.


"Pada tahun 2014, sempena ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China, bekas PM Najib Razak telah terbang ke China, membuat sidang media dengan PM China Li Keqiang dan menandatangani suatu memorandum persefahaman di mana salah satu ayat dalam dokumen tersebut menyebut bahawa ‘Taiwan is an inalienable part of China’ (Taiwan merupakan wilayah yang tidak boleh dipisahkan daripada China)," katanya dalam satu hantaran di Facebook.


Semakan terhadap dokumen berkenaan menunjukkan ia sebenarnya merupakan Komunike Bersama, bukannya memorandum persefahaman dan Malaysia ketika itu menegaskan komitmennya terhadap dasar Satu China serta mengiktiraf kerajaan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan sah mewakili keseluruhan China.


Komunike itu turut menyatakan Taiwan sebagai sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayah China serta sokongan Malaysia terhadap pembangunan hubungan rentas Selat secara aman.


Adrian berkata pendirian Malaysia berhubung perkara itu telah merentasi pelbagai pentadbiran tanpa mengira sama ada negara diterajui Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Kerajaan Perpaduan.


"Pendirian ini dikongsikan oleh Malaysia. Tak kisahlah di bawah Barisan Nasional, ataupun Pakatan Harapan ataupun Perikatan Nasional ataupun Kerajaan Perpaduan, pendirian Malaysia mengiktiraf polisi ‘One China’ tidak pernah berubah," katanya.


Malah, asas pendirian itu boleh dijejaki kepada Komunike Bersama Malaysia-China pada 31 Mei 1974 ketika Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.


Dalam dokumen berkenaan, Malaysia mengiktiraf kerajaan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan sah China dan mengambil maklum pendirian kerajaan China bahawa Taiwan merupakan sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayahnya.


Adrian berkata berdasarkan sejarah dasar luar itu, kenyataan Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera baru-baru ini yang mengulangi bahawa Taiwan merupakan sebahagian daripada China tidak sepatutnya dianggap sebagai perubahan dasar Malaysia.


"Jadi apabila PM Anwar mengulangi perkara yang sama dalam wawancara bersama Al Jazeera bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China, ini sepatutnya bukan isu.


"Sudah lebih 50 tahun Malaysia mengiktiraf China. Tiba-tiba pada tahun ke-52, dijadikan isu oleh segelintir pihak," katanya.


Pendirian kerajaan semasa mengenai perkara itu juga telah dinyatakan secara rasmi sebelum ini.


Dalam kenyataan bersama Malaysia-China pada April 2025, Malaysia sekali lagi menegaskan komitmen terhadap Dasar Satu China berdasarkan Komunike Bersama 1974, mengiktiraf kerajaan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan sah China dan Taiwan sebagai wilayah yang tidak boleh dipisahkan daripada Republik Rakyat China serta tidak menyokong sebarang seruan kemerdekaan Taiwan.


Bagaimanapun, Taiwan menolak pendirian tersebut dan menegaskan Republik China (Taiwan) adalah sebuah negara berdaulat serta tidak berada di bawah Republik Rakyat China.


Kementerian Luar Taiwan sebelum ini turut membantah kandungan kenyataan bersama Malaysia-China pada April 2025 berhubung status pulau itu.


Adrian berpandangan polemik terhadap kenyataan Anwar lebih menjurus kepada percaturan politik berbanding perubahan substantif terhadap dasar luar negara.


"Pihak yang mempersoal pendirian Anwar ini sebenarnya bukan sokong sangat Taiwan pun. Mereka paling lantang membantah UEC-Taiwan, tiba-tiba jadi pendokong tegar Taiwan?


"Mereka cuma jadikan Taiwan sebagai alat politik untuk serang musuh. Itu sahaja," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page