Isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbanika KK Mart sepatutnya telah reda namun terdapat pihak tertentu berkonspirasi untuk mewujudkan persepsi terancang memburukkan kerajaan dalam isu berkenaan dengan menunggang sentimen kaum dan agama.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, isu yang sepatutnya selesai selepas tindakan tegas polis kali ini berlanjutan dengan kempen 'memanaskan isu' melalui akaun akaun tertentu di media sosial yang menyiarkan konten terancang serupa atau hampir sama.
Hal itu, kata Fahmi ditimbulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
"Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju agar tindakan tegas diambil segera.
"Jemaah Menteri mahu isu ini diselesaikan segera. Pihak PDRM telah membuat kenyataan termasuk terkini kita boleh rujuk tindakan penguatkuasaan berdasarkan kenyataan PDRM. Sebarang tindakan undang undang pula kita boleh rujuk Jabatan Peguam Negara.
"Berkait isu ini, saya dapat maklumat berdasarkan laporan media yang dibuat di laman Malaysiakini yang meneliti aspek influence operations yang mana satu mesej diulang ulang dalam platform yang sama oleh sejumlah akaun yang tidak dapat dikenal pasti sama ada dilakukan secara sengaja atau pun dengan motif yang tersendiri," katanya dalam sidang media Jurucakap Kerajaan oleh Menteri Komunikasi di Putrajaya, petang tadi.
Tegas Fahmi, pihaknya mengambil maklum taktik perang persepsi tersebut dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan meneliti beberapa muatnaik di media sosial berkenaan mesej serupa tetapi dengan mesej berlainan.
Berkenaan muatnaik serupa di TikTok pula, katanya, pihak MCMC telah berhubung dengan pengendali media sosial berkenaan.
"Usaha untuk membentuk persepsi umum ini menimbulkan satu kerisauan, saya meminta MCMC untuk berhubung dengan platform terbabit untuk kenalpasti tindakan apa untuk mengekang aktiviti ini
"MCMC memaklumkan dalam bulan biasa, aduan yang disampaikan kepada TikTok jumlahnya sekitar 1,800 sebulan. Tetapi (dalam isu stoking) dalam masa seminggu kita dapati lebih 1,000 konten telah diadukan kepada pihak TikTok (untuk diambil tindakan)
"Jumlahnya adalah 1,040 antara 13 Mac dan 21 Mac. Namun bukan semua konten ini diturunkan atas isu yang sama.
"Dari 1,040 laporan diterima oleh TikTok 19% dianggap pelanggaran garis panduan komuniti, 53% pelanggaran undang undang Malaysia, 13 % penelitian lanjut TikTok dan selebihnya tidak melanggar undang undang," katanya.
Berdasarkan fakta berkenaan Fahmi berkata, terdapat dua kesimpulan boleh diambil.
Pertama, terdapat pihak mengambil kesempatan untuk memulakan persepsi negatif terhadap kerajaan dalam isu stoking dan KK Mart terutama di Facebook serta TikTok
Kedua, pihak kerajaan tidak memaksa TikTok menurunkan konten sebagaimana didakwa pembangkang. Sebanyak 15% konten yang diadukan di TikTok tidak diturunkan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia terjamin.
Comments