top of page

Isu solat Jumaat: Khoo perlu hormati bidang kuasa negeri - Yahya Sahri

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
16 hours ago
2 min read
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri

Jangan terlalu cepat mempertikaikan sesuatu ketetapan negeri tanpa terlebih dahulu memahami asas perundangan, konteks pentadbiran dan kepentingan di sebalik pelaksanaannya - Yahya Sahri

Kenyataan berkaitan isu agama Islam, khususnya membabitkan arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat perlu dibuat secara lebih berhati hati.


Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata tindakan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong semalam yang mengkritik arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu meminta semua premis perniagaan ditangguh operasi pada waktu umat Islam menunaikan solat Jumaat, telah dianggap tidak menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan oleh beberapa pihak.


Menurut Yahya, ketetapan berkaitan solat Jumaat di Terengganu perlu dinilai oleh Poay Tiong berdasarkan kerangka perundangan dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).


"Jangan terlalu cepat mempertikaikan sesuatu ketetapan negeri tanpa terlebih dahulu memahami asas perundangan, konteks pentadbiran dan kepentingan di sebalik pelaksanaannya," kata beliau dalam kenyataan hari ini.


Yahya berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, manakala hal ehwal Islam turut berada dalam bidang kuasa negeri berdasarkan pembahagian kuasa yang ditetapkan Perlembagaan.


Sehubungan itu, beliau menyokong penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan yang mengingatkan Poay Tiong supaya menghormati urusan pentadbiran agama Islam di peringkat negeri serta sensitiviti umat Islam.


Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mempertikaikan hak mana-mana wakil rakyat untuk mengemukakan pandangan, persoalan atau kritikan terhadap dasar kerajaan.


Namun, hak bersuara perlu disertai tanggungjawab, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan.


"YB Khoo Poay Tiong khususnya perlu lebih berhati-hati dalam memilih pendekatan dan bahasa apabila menyentuh isu berkaitan Islam.


"Sebagai pemimpin yang berpengalaman, beliau sepatutnya memahami bahawa sesuatu kenyataan yang dibuat tanpa penelitian menyeluruh boleh mencetuskan salah faham, mengeruhkan hubungan antara masyarakat dan menjejaskan usaha membina keharmonian negara," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa sikap saling menghormati amalan agama merupakan asas penting dalam mengekalkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.


"Jangan sampai keghairahan mempertikaikan sesuatu dasar menyebabkan kita terlepas pandang hakikat bahawa menghormati agama orang lain adalah asas kepada perpaduan negara ini."


Yahya berharap Poay Tiong menerima teguran berkenaan secara terbuka dan matang serta menggunakan saluran perbincangan yang betul sekiranya mempunyai persoalan mengenai pelaksanaan atau kesan sesuatu ketetapan.


"Kita tidak memerlukan polemik yang boleh mencetuskan ketegangan agama. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang matang, saling menghormati dan memahami bahawa keharmonian negara mesti dipelihara oleh semua pihak.


"Hormati Islam, hormati Perlembagaan dan hormati bidang kuasa negeri. Perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan sensitiviti agama," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page