
Semua pihak diminta menghormati keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sisters In Islam Forum (Malaysia) (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa Selangor yang mengisytiharkan organisasi itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Gesaan itu dinyatakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis itu, peruntukan undang-undang sedia ada jelas mengutamakan keharmonian dan kesucian semua agama termasuk Islam.
Bagaimanapun beliau bersikap terbuka dengan niat pihak terbabit yang meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"Mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mencabar agama Islam ini, saya melihat dari aspek positif supaya balik ke meja rundingan, bincang mengenai apa sebenarnya yang mereka perlukan.
"Saya percaya kebijaksanaan pihak pengamal undang-undang untuk membuat keputusan terbaik di Mahkamah Persekutuan nanti.
"Sewajarnya keputusan mahkamah itu dihormati dan diterima oleh semua pihak dan hak mereka untuk merayu dan membawa ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam satu sidang media di Shah Alam semalam.
Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Has Zanah Mehat yang bersidang secara dalam talian semalam menolak rayuan dikemukakan SIS Forum kerana mahkamah sivil tiada bidang kuasa mendengar rayuan berhubung keputusan Mahkamah Syariah.
Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan rayuan itu tidak mempunyai sebarang merit dan keputusan majoriti itu juga mendapati tiada sebarang kekhilafan dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mahkamah Rayuan campurtangan.
Untuk rekod, keputusan Mahkamah Tinggi pada pada Ogos 2019 mendapati bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor adalah forum yang sesuai untuk melakukan semakan kehakiman terhadap fatwa berkenaan.
Comentários