Isu simpanan minyak: 'Pelabur global cari kestabilan, tidak dengar ceramah Pas'
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah yang sebelum ini merupakan ahli akademik, berhubung isu ketahanan simpanan minyak negara disifatkan sebagai tidak berasas dan boleh mengelirukan rakyat
Bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), dakwaan bahawa pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai tahap simpanan minyak bertahan selama beberapa bulan memberi gambaran salah kepada pelabur, merupakan satu pandangan dangkal dari sudut kefahaman ekonomi.
Hal itu, katanya, deposit simpanan minyak, makanan dan sebagainya sebelum ini dinyatakan oleh kerajaan secara berkala, namun sengaja dipolitikkan pada waktu krisis tenaga global.
"Seluruh dunia sedang berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga akibat konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. Pelabur antarabangsa bukan naif, mereka memahami realiti ini dengan jelas. Pelabur global tidak dengar ceramah Pas, mereka membaca data," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan Madani yang telus dalam memaklumkan tahap kesiapsiagaan negara adalah langkah bertanggungjawab, bukannya tindakan yang menjejaskan keyakinan pasaran.
"Memberi amaran awal supaya rakyat berjimat dan bersedia adalah langkah bertanggungjawab, bukan menakutkan pasaran. Maklumat tentang tempoh simpanan minyak adalah sebahagian daripada pengurusan risiko, bukan isyarat kegagalan," ujarnya.
Mahfuz turut menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Exco berkenaan sebagai emosional dan tidak berasaskan fakta, sekali gus berpotensi mengganggu keyakinan pelabur.
"Apa yang pelabur cari ialah kestabilan, konsistensi dasar dan keupayaan kerajaan mengurus krisis. Kenyataan tanpa asas inilah yang sebenarnya boleh menjejaskan keyakinan," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu bekalan tenaga bukan bahan untuk polemik politik semata-mata, sebaliknya melibatkan kepentingan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Dalam krisis, negara perlukan kepimpinan yang matang, bukan 'profesor' yang keliru antara fakta dan persepsi," kata Mahfuz lagi.



Comments