top of page

KEADILAN Pulai usul tanding DUN Kempas, tangguh PRN Johor

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Apr 19
  • 2 min read
Faezuddin berucap dalam MATC Pulai
Faezuddin berucap dalam MATC Pulai

Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) KEADILAN Pulai menyaksikan beberapa usul penting dibangkitkan, termasuk mencadangkan KEADILAN diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Johor.


Ketua Cabang Pulai, Faezuddin Puad berkata, mesyuarat yang diadakan itu bukan sahaja memenuhi tuntutan perlembagaan parti, malah menjadi platform penting untuk membawa suara akar umbi serta memperkukuh organisasi.


"Mesyuarat ini penting untuk membawa suara akar umbi, memperkukuh organisasi dan menyusun gerak kerja perjuangan," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, antara usul utama yang dibawa ialah supaya KEADILAN diberikan peluang bertanding di DUN Kempas, selaras dengan kekuatan gerak kerja dan komitmen berterusan parti di kawasan berkenaan.


Faezuddin memberi penghargaan kepada MP Jimmey Puah sebagai perasmi MATC Pulai
Faezuddin memberi penghargaan kepada MP Jimmey Puah sebagai perasmi MATC Pulai

Selain itu, mesyuarat turut mengusulkan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditangguhkan berikutan keadaan semasa yang mencabar.


"Mesyuarat turut mengusulkan agar Pilihan Raya Negeri Johor ditangguhkan memandangkan rakyat sedang bergelut dengan impak krisis global dan terdapat keperluan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum, demi menjimatkan wang rakyat, mengurangkan kos pentadbiran dan memastikan keutamaan diberikan kepada agenda meringankan beban rakyat," katanya.


Tambah beliau, langkah itu dilihat mampu menjimatkan wang rakyat, mengurangkan kos pentadbiran serta memastikan fokus diberikan kepada usaha meringankan beban rakyat.


Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan perpaduan dalam kalangan Pakatan Harapan di Pulai dan Johor.


"Kita menegaskan bahawa perpaduan antara Pakatan Harapan di Pulai dan Johor mesti terus kekal utuh dan diperkasakan dari masa ke masa kerana kekuatan gabungan ini menjadi asas kestabilan politik, keyakinan rakyat dan kejayaan agenda Reformasi di negeri ini," ujarnya.


Faezuddin turut merakamkan penghargaan kepada Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah, atas kesudian merasmikan mesyuarat berkenaan.


Beliau berharap segala perbincangan, usul dan tekad yang dicapai dapat menjadi pemangkin untuk memperkukuh gerak kerja parti agar lebih tersusun dan dekat dengan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page