Isu cadangan pengambilan sijil halal kepada perniagaan bukan muslim yang hangat diperkatakan ketika ini tidak wajar dipanaskan suhunya sehingga memecah belahkan rakyat Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid isu berkenaan perlulah dilihat secara menyeluruh dan bukan terhad kepada tindakan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyentuh perkara melibatkan agama, kaum dan raja (3R) sahaja.
Katanya, Tereka Kok dalam ulasannya mengenai isu itu memohon semakan terhadap dasar baharu yang akan dibawa ke Kabinet
Oleh itu, katanya, di tengah perdebatan antara penyokong dan penentang hujah Teresa Kok, perlu diwujudkan budaya hormat-menghormati berdasarkan hujah keilmuan.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita datang dari pelbagai latar belakang, budaya, dan agama. Apa yang menyatukan kita adalah komitmen bersama terhadap keamanan, keharmonian, dan pemahaman.
"Isu pensijilan halal tidak seharusnya dibiar memecahbelahkan kita. Sebaliknya, ia harus dijadikan peringatan tentang bagaimana kita boleh bersama-sama menangani isu sensitif dengan rasa penuh hormat dan ambil peduli, memastikan tiada siapa yang merasa dipinggirkan.
"Sistem pensijilan halal itu sendiri merupakan komponen yang sangat bernilai dalam masyarakat kita, dan ia memainkan peranan penting dalam memastikan pengguna muslim dapat membuat keputusan yang tepat.
"Namun, seperti mana-mana dasar, adalah wajar untuk memantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa bagi memastikan ia terus berperanan sepertimana tujuan asalnya tanpa meletakkan bebanan yang tidak perlu
"Kita tidak boleh membiarkan salah faham mengaburkan tujuan sebenar semakan ini. Teresa Kok bukan mencabar kewujudan sistem pensijilan halal, beliau hanya menyeru agar pendekatan yang lebih teliti dan terukur diambil dalam pelaksanaannya," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Syerleena, rakyat Malaysia yang berpendidikan perlu untuk mengawal emosi semasa perdebatan. Manakala reaksi yang berlebihan atau salah tafsiran hanya akan mencetuskan perpecahan dan menghalang kemajuan.
Sebaliknya, kata beliau, masyarakat seharusnya fokus kepada dialog membina dan cuba memahami rasional di sebalik seruan Teresa Kok untuk satu kajian semula isu tersebut.
"Sekarang bukanlah masa untuk perpecahan, tetapi masa untuk penyatuan dan kerjasama.
"Dalam saat seperti ini, kita harus mengingatkan diri tentang nilai-nilai yang sentiasa membimbing kita sebagai sebuah negara—hormat, toleransi, dan perpaduan.
"Perbezaan kita tidak seharusnya menjadi punca konflik, sebaliknya ia menjadi asas untuk pembelajaran dan pertumbuhan bersama.
"Dengan menghayati nilai-nilai ini, kita boleh mendekati isu ini dengan minda dan hati yang terbuka, memastikan keputusan yang diambil mencerminkan kepentingan terbaik semua rakyat Malaysia," katanya lagi.
Justeru Syerleena berharap, semakan pensijilan halal merupakan peluang untuk negara memperkukuh proses demokrasi dan perpaduan.
Beliau menggesa agar rakyat kekal tenang, rasional, dan menyokong prinsip-prinsip demokrasi dengan terlibat dalam perbincangan yang penuh rasa hormat serta berfikir jauh demi membina masyarakat yang pelbagai, inklusif, dan harmoni.
Comments