Isu sensitif, 3R: Jangan buat komen burukkan lagi keadaan - Adam Adli
- Redzuan Shamsudin

- Mar 30, 2024
- 2 min read

Isu sensitif seperti penjualan stoking tertera kalimah Allah atau berkaitan 3R (raja, kaum dan agama) tidak boleh dibicarakan secara sembarangan atau bernaratif provokasi dalam masyarakat Malaysia yang majmuk.
Hal itu ditekankan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim.
Menurut beliau, anak muda yang sering menggunakan media sosial seharusnya berfikiran lebih matang dan tidak sewenang wenangnya membincangkan isu sensitif mengikut kefahaman puak masing masing.
Bagi AMK, katanya, pergerakan itu sering mengulas isu isu semasa tetapi secara berhati hati dengan pendekatan rasional dan mengekalkan suhu politik agar tidak memanas.
"Bagi AMK terutama sekali ada tugas daripada sudut kita untuk mengekalkan suhu (politik).
"Kita kecam beberapa isu kebelakangan ini. Bagaimanapun kita sebagai pemimpin ada tanggungjawab, fardu kifayah menjaga keharmonian masyarakat.
"Kita tidak mahu seperti tambah minyak kepada api sedang marak. Ini bukan siapa bersuara paling lantang tetapi siapa yang ambil tanggungjawab jaga masyarakat.
"Tanggungjawab AMK dari awal lagi (dalam isu stoking), segalanya diserahkan kepada pihak berkuasa. Kita ada undang undang, pihak berkuasa, prosedur (pendakwaan) itu pendirian kita," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas beberapa isu panas terutama penjualan stoking tertera kalimah Allah baru baru ini.

Adam yang menghadiri Majlis Iftar Jamaie Perdana AMK Malaysia di Seremban malam tadi berkata, anak muda dengan kuasa tular media sosial tidak seharusnya menjadi pendorong tindakan di luar kawalan dalam isu berkaitan 3R.
Kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, mereka seharusnya faham tanggungjawab utama sebelum membuat komen atau menyebarkan dakwaan, iaitu mengelakkan masyarakat daripada berpecah atau membesar besarkan isu.
"Semua orang kena jaga sensitiviti, baik Melayu atau Islam kena jaga. Kita cakap isu 3R, kita jaga sensitiviti supaya masyarakat tidak bertelagah, bertengkar, berpecah. Kalau kita bicara suhu makin panas itu tidak membantu. Dalam suasana ini kita kena ukur siapa yang untung, siapa rugi.
"Dalam keadaan begini, kalau kita berterusan gaduh dan guna isu secara berlebihan seolah olah tiada tindakan pihak kerajaan, pihak berkuasa, saya anggap semua orang akan rugi," katanya.
Diminta mengulas Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Baharu berikutan kematian penyandangnya, Adam Adli berkata, calon akan ditentukan oleh Pakatan Harapan Selangor, namun AMK akan menurunkan jentera terkuat mempertahankan DUN tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri Ogos 2023 lalu.
"AMK Selangor sudah minta supaya jentera pilihanraya diaktifkan segera dan keperluan mencukupi di PRK Kuala Kubu baharu.
"Program telah disusun, kita akan banyakkan program, kita akan libatkan banyak pihak. Pastikan PRK Kuala Kubu nanti kita kekalkan prestasi sebelum ini. Kita bantu calon yang akan bertanding," katanya lagi.









Comments