
Isu runtuhan tebing Sungai Kemensah di kawasan kediaman Kemensah Height akan diselesaikan secara bersama oleh pihak Kerajaan Selangor dan pemilik tanah.
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, setelah Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) mendengar taklimat daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta jabatan berkaitan semalam, beberapa ketetapan telah diutuskan.
"Pergerakan tanah di seluruh kawasan terbabit termasuk 19 buah townhouse yang melibatkan 28 keluarga didapati masih aktif dan diklasifikasikan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor sebagai Zon Bahaya. Justeru, dianggarkan satu (1) hingga tiga (3) bulan diperlukan bagi menguruskan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan cerun.
"Proses pengukuhan tebing dan cerun melalui pembinaan tembok penahan kekal dianggarkan memakan belanja sebanyak RM 6 juta.
"Pegawai Daerah Gombak selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Gombak akan memudahcara bersama pemilik-pemilik lot unit kediaman banglo terlibat untuk memuktamadkan pengendalian kos pengukuhan.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor pula akan melakukan kerja-kerja penstabilan dan pengukuhan tebing Sungai Kemensah dengan memasang sheet pile sepanjang 200 meter melibatkan anggaran kos RM 1 juta," katanya dalam satu kenyataan.
Manakala bagi kerja-kerja sementara mengelakkan runtuhan terus berlaku, kata MB, Kawasan cerun yang runtuh telah ditutup dengan canvas sheet bagi menghalang air terus ke permukaan cerun. Kerja-kerja pemantauan pergerakan tanah akan terus dilaksanakan sehingga tiada lagi pergerakan tanah dikesan.
"Tindakan segera melalui pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih aliran Sungai Kemensah ini dan lain-lain kerja berkaitan telah selesai dilaksanakan pada 19 September 2021 dengan kos RM20,000," katanya lagi.
Kerajaan Negeri juga, tambah Amirudin, merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang meluluskan peruntukan RM10 juta untuk pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaiktaraf Sungai Kemensah bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang.
Comments