Ahli Parlimen Pas, Datuk Awang Hashim diberi arahan sama ada mengemukakan bukti berhubung dakwaan penemuan wang tunai sebanyak RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri atau membuat permohonan maaf.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengeluarkan arahan itu selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membentangkan usul merujuk Ahli Parlimen itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan bersifat tuduhan fitnah yang dianggap mengelirukan dewan.
"Saya tidak pasti sama ada Pendang ada bukti-bukti lain selain apa dinyatakan seperti termaktub dalam surat ditulis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada saya. Oleh kerana Pendang tiada di sini, saya mohon Ketua Whip untuk maklumkan kepada Pendang, bahawa ada dua pilihan.
"Pilihan pertama, dia hadir untuk menjelaskan, sekiranya ada bukti, menunjukkan ini adalah bukti dan tunjukkan SPRM juga salah serta siasatan telah dibuat. Sekiranya tidak, memohon maaf sahaja sudah memadai. Saya rasa itu adalah yang terbaik, terpulang kepada dia," katanya dipetik di Dewan Rakyat.
Awang di Dewan Rakyat pada Isnin lalu mendakwa ketua pesuruhjaya SPRM ada membuat kenyataan bahawa badan antirasuah itu telah menjumpai RM94 juta di dalam rumah seorang bekas menteri dari DAP.
Susulan itu SPRM tampil menafikan agensi itu mahupun ketua pesuruhjayanya pernah mengeluarkan kenyataan seperti didakwa Awang.
Selain itu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar melalui satu sidang media menempelak tuduhan Awang dengan menyifatkannya satu serangan politik bersifat fitnah untuk mencemar reputasi dan integritinya dan parti yang diwakili.
Beliau mencabar Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sekali lagi mengulangi fitnah itu di luar Dewan Rakyat.
Sementara itu Rayer ketika membentangkan usul itu semalam menegaskan, Ahli Parlimen perlu dihalang menggunakan kekebalan dewan untuk melemparkan fitnah.
"Mana sumber diperoleh Pendang? Kalau kita benarkan Ahli Parlimen menggunakan kekebalan Dewan untuk membuat ucapan bersifat liar terhadap Ahli Parlimen lain, di mana noktahnya?" katanya.
Comments