Isu reformasi institusi, Konvensyen PH 2026 dibincang mesyuarat Majlis Presiden PH
- Suara Keadilan

- 10 minutes ago
- 1 min read

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelbagai isu utama negara, termasuk perkembangan ekonomi rakyat, agenda reformasi serta hasil Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil (gambar), mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli-ahli Majlis Presiden.
"Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli Majlis Presiden telah membincangkan isu-isu berkait urustadbir Kerajaan, perkembangan ekonomi rakyat, dan ikhtiar pelaksanaan manifesto serta reformasi institusi sepanjang tiga tahun mentadbir negara," katanya dalam kenyataan media.
Mesyuarat turut memberi tumpuan khusus kepada keputusan PRN Sabah, dengan perbincangan lebih mendalam mengenai implikasi dan langkah penambahbaikan selepas proses pilihanraya itu.
“Mesyuarat juga telah mendalami dan meneliti keputusan PRN Sabah, dan memutuskan supaya beberapa perkara berhubung reformasi institusi perlu diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat,” ujar Fahmi.
Beliau berkata Pakatan Harapan komited memastikan agenda reformasi terus bergerak maju dan tidak terhenti, termasuk dalam aspek tadbir urus, ketelusan dan memperkukuh institusi negara.
Manakala bagi memperkukuh hala tuju gabungan itu bagi dua tahun akan datang, Majlis Presiden turut bersetuju untuk mengadakan Konvensyen Pakatan Harapan pada suku pertama 2026.
“Mesyuarat turut memutuskan bahawa satu Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan pada suku pertama 2026, bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta halatuju negara bagi dua tahun ke hadapan,” katanya.
Konvensyen tersebut dijangka menjadi platform penting untuk memperincikan strategi gabungan dalam memastikan kerajaan terus berfungsi dengan efektif, berpaksikan rakyat dan selari dengan komitmen reformasi yang telah digariskan sejak 2022.






Comments