top of page

Isu REE: Negeri PN gagal halang kecurian, perlu kawal selia pusat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 13 minutes ago
  • 3 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Isu unsur nadir bumi (REE) tidak seharusnya dijadikan bahan politik oleh mana-mana Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN), sebaliknya perlu difahami sebagai sumber strategik yang berkait rapat dengan kedaulatan dan keselamatan ekonomi negara.


Menurut aktiviti Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hishammuddin Ghazali, Malaysia telah mengenal pasti 18.2 juta tan simpanan REE bukan radioaktif yang dianggarkan bernilai AS$174 bilion (RM747.2 bilion) menjelang tahun 2030.


Beliau berkata, potensi besar itu mesti diurus secara teratur dengan mematuhi kerangka kawal selia nasional, bukan secara bebas oleh Kerajaan Negeri semata-mata.


"Memang benar mineral adalah hak negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi itu tidak bermaksud negeri boleh melombong sesuka hati. Setiap aktiviti perlu mematuhi undang-undang dan dasar mineral nasional yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Hishammuddin menjelaskan, walaupun hak ke atas tanah, mineral dan hasil bumi terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), namun Persekutuan mempunyai kuasa pengawalseliaan melalui beberapa akta penting.


Ia termasuk Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) yang menetapkan polisi pembangunan mineral, pelesenan eksport dan kawalan keselamatan dan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (ICA) melibatkan mengawal aktiviti pemprosesan mineral dan kilang berkaitan.


Selain itu katanya, perkara itu juga melibatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memastikan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan pengurusan sisa radioaktif dipatuhi serta Akta Tenaga Atom 1968.


Beliau yang turut dikenali sebagai Syam Ghaz berkata, semua ini penting kerana REE merupakan mineral strategik yang bukan sahaja bernilai tinggi, malah berisiko tinggi terhadap keselamatan dan alam sekitar.


"Kerajaan Persekutuan sudah pun melarang eksport REE mentah. Malaysia mahu REE diproses dalam negara untuk menambah nilai ekonomi dan memastikan kawalan selamat terhadap bahan yang berpotensi radioaktif," jelasnya.

Mohd Hishammuddin Ghazali
Mohd Hishammuddin Ghazali

Syam Ghaz turut menempelak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan Persekutuan menyekat hak negeri.


Sebaliknya, beliau mendakwa beberapa negeri pembangkang di bawah SG4 sendiri gagal mengawal kecurian REE di kawasan mereka.


Beliau memberi contoh kes di Bukit Enggang, Sik, Kedah, di mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Kedah dan sebuah syarikat yang menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengannya didakwa terbabit dalam kecurian REE.


"Kes ini disiasat oleh polis dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut bertindak.


"Malah bekas CEO Kedah Menteri Besar Incorporated dan bekas setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah telah didakwa menerima rasuah RM4 juta dan RM400,000," katanya.


Kes lain turut berlaku di Gua Musang, Kelantan, di mana Operasi Khazanah Khas 1/24 menemui lebih 140 guni bahan dipercayai REE, bersama jentolak, bahan kimia dan peralatan ujian, katanya.


Menurut Syam Ghaz, Kementerian Dalam Negeri kini telah melaksanakan Ops Khazanah bagi melindungi khazanah negara daripada kegiatan haram yang melibatkan REE, dengan kerjasama PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan, APMM serta Kastam dan JPJ.


"Ini bukan isu ‘hak negeri lawan pusat’. Ini isu kedaulatan, keselamatan dan masa depan ekonomi negara. REE adalah aset strategik dan mesti diurus secara bijak untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia," katanya.


Sehubungan itu, beliau turut memuji pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani perjanjian dengan kedua-dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat melibatkan REE, bagi memastikan Malaysia tidak terperangkap dalam perang geopolitik ekonomi antara dua kuasa itu.


Isu perlombongan REE kembali panas apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mempersoalkan bagaimana perjanjian berbilion ringgit yang menyentuh hasil nadir bumi (REE) negeri dengan Amerika Syarikat (AS) dibuat pada Ahad lalu tanpa pandangan Kerajaan Negeri.


Justeru beliau mempertahankan REE adalah hak negeri dan tidak boleh dilanggar oleh Kerajaan Persekutuan.


Bagaimanapun, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump bukanlah khusus mengenai perlombongan REE, sebaliknya perjanjian persefahaman umum menyentuh usahasama yang melibatkan unsur nadir bumi serta pemindahan teknologi dan perdagangan jangka panjang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page