Isu Puteri Balqis: Menteri Wanita harus lebih peka bukan tunggu laporan polis - Siti Aisyah



Isu pelakon Puteri Balqis yang mendakwa mendapat layanan tidak sewajarnya daripada ayah beliau seharusnya ditangani sepantas mungkin oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, juga Jabatan Agama Islam negeri dan tidak perlu menunggu sehingga laporan polis dibuat.


Bagi Pengarah Aduan dan Kemasyarakatan KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail, Menteri yang bertanggungjawab seharusnya lebih prihatin dalam menangani masalah berkaitan keluarga atau keagamaan yang mempunyai unsur 'melanggar batasan akhlak' sebagaimana didedahkan.


"Saya meneliti kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Agama dan Menteri Wanita berkait isu melibatkan adik Puteri Balqis yang mendedahkan bagaimana beliau menghadapi kehidupan berkeluarga dalam keadaan yang sangat tidak harmoni. Pelbagai perkara diluahkan oleh beliau bagi menggambarkan betapa lelahnya beliau dalam berhadapan dengan semua perkara sepanjang proses ujian itu berlaku.


"Saya bersetuju bahawa menceritakan sesuatu aib adalah tidak wajar dalam Islam namun bagi saya ia harus menjadi satu perkara yang perlu dipandang serius dan memerlukan pendekatan bersesuaian bagi pihak kerajaan.


"Menteri Wanita seharusnya menjadi lebih peka dan agresif kepada perkara seperti ini dengan memberikan solusi terbaik kepada masyarakat jika mereka juga melalui perkara yang sama. Dengan menyebut jika ada laporan baru ia diambil tindakan itu tidak menggambarkan fungsi sebenar kementerian tersebut yang sepatutnya tidak bertindak sebagai "Balai Polis" tetapi seharusnya menjadi rakan pendengar dan penyelesai yang baik," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Siti Aishah lagi, mungkin penyebab kebanyakan rakyat tidak gemar menggunakan kemudahan kementerian kerana melihat hak mereka tidak diadili selain kekangan birokrasi yang bersifat menekan digunakan apabila setiap perkara harus melibatkan perundangan.


Sedangkan, katanya solusi awal sebaik baiknya ialah dengan memastikan mereka itu didekati dengan dasar kepedulian bukan bahan publisiti murahan semata-mata.


"Saya yakin masih ramai di luar sana yang melalui perkara-perkara seperti dilalui oleh adik Puteri Balqis. Kerajaan terutamanya Kementerian Wanita harus menjalankan tanggungjawab mereka secara total.


"Kementerian agama juga harus lebih berfungsi mendepani isu-isu besar berkaitan dengan masyarakat hari ini dan tidak hanya melihat kepada sesuatu isu berdasarkan hukum tetapi tidak menyentuh kepada soal kebajikan dan rahmah," katanya lagi.


Tegas Siti Aishah, agama Islam telah meletakan keadilan di tempatnya dan menjadi petunjuk tauladan memisahkan sesuatu yang tidak baik dan yang baik.


Manakala kepada Menteri Agama pula beliau menasihatkan agar lebih banyak mendengar keluhan rakyat agar membolehkan kementerian itu meneliti setiap perkara sesuai dengan kebijakan yang digambarkan oleh Islam

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER