Isu PTPTN keputusan kolektif Kabinet, bukan individu - AMK Melaka
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Isu berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu ditangani secara kolektif di peringkat Kabinet, bukan dibebankan kepada individu tertentu.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka, Ezal Abdul Qaiyum Zamri (gambar) menegaskan, pelantikan Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi wajar dilihat sebagai usaha memperkukuh agenda reformasi pendidikan tinggi di bawah Kerajaan MADANI, dan bukan semata mata isu PTPTN sebagaimana ditimbulkan oleh pemimpin UMNO.
"Kedudukan Timbalan Menteri tidak menentukan sepenuhnya dasar utama seperti reformasi PTPTN, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh Kabinet termasuk Kementerian Pengajian Tinggi yang diterajui wakil UMNO.
"Persoalan sebenar ialah sejauh mana kesediaan semua parti dalam kerajaan, khususnya UMNO, untuk menyokong dan memperluaskan dasar pendidikan percuma serta reformasi PTPTN di peringkat Kabinet," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyusul selepas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menyindir Adam Adli dengan mencabarnya supaya menunaikan janji untuk memansuhkan PTPTN.
Sementara itu Ezal menegaskan, Kerajaan MADANI memilih pendekatan berfasa dan berhemah dalam melaksanakan reformasi.
Langkah awal ke arah pendidikan percuma telah diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026, khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan untuk meringankan beban mahasiswa melalui dasar berperingkat dan realistik, bukan sekadar retorik.
"Reformasi sebenar menuntut keikhlasan semua pihak dalam kerajaan untuk menyokong perubahan dasar secara bersama, bukan sekadar menyindir masa lalu, sebaliknya membina masa depan pendidikan yang lebih adil untuk generasi muda," tambahnya.





