Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan cuba menangai isu berkaitan perubahan iklim, terutama banjir besar dengan kaedah terkini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementerian beliau amat memahami isu bah besar yang telah menjadi bencana tahunan dan kesannya amat merugikan.
"Kementerian akan memberi fokus sepenuhnya kepada perkara ini dan akan terus mendepani usaha untuk mencari penyelesaian kepada isu yang membelenggu masa depan Malaysia
"Pakatan Harapan sememangnya sentiasa mengutamakan isu perubahan iklim, yang terbukti bukan sahaja melalui manifesto PH tetapi juga dengan cadangan Anwar Ibrahim untuk membentuk satu Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim dan Biodiversiti yang telah dibuat pada 4 Ogos, ketika beliau masih Ketua Pembangkang
"Pembentukan sebuah kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menangani perubahan iklim juga merupakan bukti bahawa kerajaan ini sudah pun mengambil langkah segera dan positif ke arah mencorak masa depan yang lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata Ahli Parlimen Setiawangsa tersebut, NRECC pada 19 Disember lalu juga telah mencadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat akan pembentukan satu Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Matlamat utama jawatankuasa tersebut katanya adalah untuk membantu kerajaan dalam mengesyorkan dasar yang jelas serta mengenalpasti kaedah mitigasi terhadap perubahan iklim
"Kita tidak boleh bergerak seperti biasa. Percayalah kami akan memperhalusi setiap komitmen kerajaan secara terperinci untuk memerangi perubahan iklim serta impaknya yang dahsyat
"Pada masa yang sama untuk krisis yang sedang melanda negara ini, NRECC akan berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab memberi bantuan bencana banjir seperti amaran awal melalui MET Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran," katanya lagi
Beliau menambah kementeriannya akan terus menyokong dan membantu mengikut keperluan setiap usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia serta agensi berkaitan.
Kerajaan Persekutuan, katanya sedang mengambil langkah proaktif untuk membantu rakyat dan akan meningkatkan lagi respon sekiranya perlu.
Comments