
Isu pertembungan di antara DAP dan Amanah di DUN Changkat Jong, Perak sejak dua hari lalu selesai hari ini.
Menurut pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyelesaian itu dicapai oleh kepimpinan tertinggi PH dan memutuskan kawasan itu secara konsensus ditandingi calon DAP.
"Amanah dan DAP minta kerusi itu kira-kira 10 hari lalu. Di peringkat negeri, (parti komponen tersebut) ada pandangan dan hujah masing-masing.
"Amanah beri hujah agak kuat untuk pertahan Changkat Jong. Tetapi selepas lihat semua, keputusan konsensus pimpinan PH adalah berikannya kepada DAP," katanya dipetik Malaysiakini ketika mengunjungi Chemor, Perak, petang tadi.
Pertentangan merebut kerusi Changkat Jong timbul apabila Amanah mengumumkan calonnya Muhaimin Sulam akan bertanding di kawasan itu.
Namun DAP kemudian mengumumkan calonnya iaitu Badrul Hisham Badarudin dipilih untuk bertanding di DUN berkenaan.
Bagaimanapun Anwar menafikan berlaku ketegangan hubungan antara parti dalam PH berhubung isu tersebut atau satu lagi isu pertukaran kerusi di Kedah melibatkan parlimen Jerai.
"Perlu masa satu, dua hari untuk mereka faham keputusan, seperti apa yang berlaku di Jerai
"Hujah Amanah dikemukakan kepada Majlis Presiden.
"Akhirnya, kita perlu putuskan dan rujuk Majlis Presiden. Jadi saya tak fikir ada masalah," katanya.
Comments