top of page

Isu Perlis: Betul Pas menang kerusi tetapi gagal mentadbir — Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyindir kononnya Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak memenangi sebarang kerusi di Perlis disifatkan sebagai cubaan terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Pas sendiri di negeri itu.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, isu sebenar di Perlis bukanlah soal siapa memenangi kerusi pilihanraya, sebaliknya kegagalan Kerajaan Negeri pimpinan Pas menunaikan amanah selepas memperoleh mandat rakyat.


"Untuk pengetahuan Datuk Tuan Ibrahim, isu Perlis hari ini bukan siapa menang kerusi, tetapi siapa yang gagal memikul amanah selepas menang," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Mahfuz, fakta yang tidak boleh diputar belit ialah Pas memenangi majoriti kerusi dan menerajui kerajaan negeri, namun gagal mengurus perbezaan dalaman sehingga mencetuskan krisis politik dan perlembagaan.


"Pas menang majoriti, Pas mengetuai kerajaan negeri, tetapi Pas juga berpecah sesama sendiri.


"ADUN Pas dipecat, kerusi diisytiharkan kosong dan akhirnya Menteri Besar daripada Pas meletakkan jawatan. Ini bukan kegagalan pembangkang, ini kegagalan kerajaan Pas sendiri," tegasnya.


Beliau menegaskan bahawa mandat rakyat bukan lesen untuk sebuah kerajaan berpecah-belah, memecat wakil rakyat sendiri dan mengheret negeri ke dalam ketidakstabilan politik.


"Mandat rakyat bukan lesen untuk Pas dan Perikatan Nasional berpecah sesama sendiri, mencetuskan krisis perlembagaan dan mengheret negeri ke kancah ketidakstabilan," katanya.


Mahfuz turut mempersoalkan keupayaan Pas untuk mentadbir jika parti itu gagal mengurus negeri sekecil Perlis dengan berkesan.


"Jika Pas tidak mampu mentadbir walaupun sebuah negeri kecil seperti Perlis, rakyat berhak mempersoalkan keupayaan sebenar Pas untuk memerintah," ujarnya.


Tambah beliau, rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Menteri Besar Perlis bukan hanya datang daripada pihak luar, sebaliknya telah dibangkitkan oleh perwakilan Pas sendiri dalam Muktamar Pas 2024 di Pahang.


"Namun Pas memilih untuk membiarkan masalah berlarutan, gagal merancang peralihan kepimpinan, dan akhirnya memilih jalan paling merosakkan pemecatan ADUN," katanya.


Menurut Mahfuz, krisis yang berlaku bukan hasil konspirasi pihak luar, tetapi berpunca daripada kegagalan dalaman PAS mengurus kepimpinan dan pentadbiran negeri.


"Apabila kerajaan Pas yang gagal mentadbir mula bercakap soal bilangan kerusi, itu tanda mereka sudah kehabisan hujah untuk mempertahankan prestasi sendiri," katanya.


Beliau menegaskan bahawa sesebuah kerajaan seharusnya dinilai berdasarkan kestabilan, kebijaksanaan membuat keputusan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya semata-mata jumlah kerusi dimenangi.


"AMANAH tidak memerintah Perlis. Pas yang memerintah dan Pas yang gagal. Cubaan menutup kegagalan pentadbiran dengan sindiran politik hanya mengesahkan satu perkara — Pas sudah hilang hujah, hilang arah dan hilang keupayaan mentadbir dengan berkesan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page