top of page

Isu penternakan babi: MB junjung kasih keprihatinan Sultan Sharafuddin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu keselamatan dan pengurusan penternakan babi di daerah Kuala Langat.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, isu tersebut telah lama dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum satu keputusan dibuat untuk memperketatkan syarat pengoperasian industri berkenaan, khususnya berkaitan pengurusan sisa secara lebih bertanggungjawab.


Tambah beliau, langkah itu bertujuan mengelakkan kesan negatif terhadap sistem saliran, alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat, selain menoktahkan isu yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.


"Ia bertujuan memastikan industri ini dapat beroperasi dengan lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan kepada penduduk sekitar,

"Langkah ini bukan sahaja mengambil kira sensitiviti masyarakat, malah amat penting bagi memelihara kesihatan komuniti, kelestarian alam sekitar dan sistem saliran, serta mengelakkan pencemaran bau," katanya dalam satu kenyataan.


Semalam, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar pada 2030.


Walaupun tidak membantah sepenuhnya cadangan projek tersebut, Baginda menekankan keperluan kajian dibuat secara teliti dan rasional sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.


Sementara itu menurut Amirudin, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor akan menghadap Sultan Selangor pada Isnin ini bagi menyembah maklum serta membentangkan perincian keputusan MMKN.


Ia termasuk langkah-langkah proaktif yang akan dilaksanakan agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kebersihan persekitaran tanpa sebarang kompromi.


"Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan tinggi atas kecaknaan, nasihat serta pedoman tuanku sultan, di samping mendoakan baginda terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk membimbing serta menaungi negeri ini dengan penuh hikmah," katanya dalam kenyataan sama.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page