top of page

Isu penghinaan kalimah Allah perlu ditangani ikut jalur hukum - Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Mar 25, 2024
2 min read


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu isu berkaitan agama termasuk penghinaan terhadap kalimah Allah perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang dan bukannya oleh gerombolan berasingan atau rakyat mengambil tindakan sendiri.


Perdana Menteri berkata, kerajaan memberikan laluan penuh untuk melakukan siasatan ke atas sesiapa sahaja dan seterusnya dibawa kepada pihak pendakwaan untuk diadili di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang atau jalur hukum.


"Ada isu yang patut ditangani ikut jalur hukum, bukan gerombolan berasingan, ada masalah termasuk penghinaan agama atau nama Allah, jalur hukum patut menentukan.


"Siasat secara profesional, bertindak dan dakwa segera kerana kita tidak tolak ansur dalam apa-apa tindakan hina mana-mana kaum, agama apatah lagi Islam agama Persekutuan," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalannya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.


Anwar berkata negara yang tidak mengikut jalur hukum akan rosak dan tidak berkembang maju.


Tegasnya perkara tersebut perlu difahami oleh semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan tokoh besar atau kecil dalam masyarakat.


Beliau mengingatkan masyarakat seharusnya menjadi pendakwah dan bukannya kadi atau hakim yang menjatuhkan hukuman.


"Orang yang seru betapa pun mempunyai niat baik tidak boleh menghukum sewenang-wenangnya dan hasut rakyat untuk benci serta bertindak sewenang-wenangnya," tegas beliau.


Terdahulu dalam ucapannya Anwar mengingatkan tentang bahaya ancaman 3C iaitu komunisme, korupsi dan komunalisme atau fahaman sempit perkauman yang pernah dipesan oleh Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1961.


Jelasnya selepas ancaman komunis yang bukan sahaja dalam bentuk ideologi malah bersikap militan berjaya dihapuskan, negara tetap berdepan dengan masalah korupsi dan cabaran menangani masalah perpaduan pelbagai kaum.


Justeru itu, beliau mahu seluruh pimpinan dan anggota polis untuk terus bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah dengan berani dan bersungguh-sungguh.


'Saya merayu banteras rasuah ini untuk selamatkan negara dan bangsa, jangan kita khianati amanah ini walaupun ia bukan mudah. Bila rasuah mula menjadi sistemik, ia akan menghakis seluruh sendi anggota kita dan ia perlu ketangkasan dan keberanian untuk bertempur dalam bidang ini (rasuah).


"Sama-sama kita ingat pesanan 3C bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada tahun 1961 iaitu, Communism, Corruption, Communalism, maknanya apa, ada sebut soal rasuah, pada tahun 1961 lagi pimpinan kita dah nampak... kini 2024 pun kita masih bertarung dengan isu rasuah," katanya.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk memberi kemudahan kepada sebarang proses melibatkan penambahbaikan premis dan perumahan anggota polis.


"Kita bicara soal polis kena berlawan hadapi soal digital, jenayah komersial, tapi bangunannya 20-30 tahun kekal dengan kemudahan usang, pejabat 30 tahun ketinggalan dari aspek kemudahan, sebab itu kita sekarang tumpu perumahan dan pejabat polis.


"Saya beri laluan pada Kementerian Dalam Negeri agar sebarang proses tender dipercepatkan, kita cuba sedaya upaya baiki," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page