top of page

Isu pencen: Pencerahan PMX redakan kritikan Menteri didahulukan



Oleh: Noraini Nordin


ANALISIS: Api polemik yang baru mula hendak menyala berkaitan cadangan kerajaan akan memansuhkan skim pencen bagi lantikan baru penjawat awam kini dengan sendirinya sudah terpadam sebelum sempat ia marak menular.


Sejak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan mengenai cadangan kerajaan itu dua hari lalu, pelbagai pihak, termasuk majoriti netizen di alam maya tampil mempertikaikannya, sambil menganggapnya sebagai tidak adil.


Hujah mereka ialah pencen yang lebih wajar dihapuskan ialah pemegang jawatan politik dalam kerajaan seperti Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan sebagainya, bukan penjawat awam.


Lagi pun kata mereka, lantikan politik hanya berkhidmat dalam tempoh singkat tetapi turut menikmati pencen berbanding penjawat awam yang perlu bekerja sehingga berusia 55 tahun.


Lantikan politik tidak berpencen


Namun apabila Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa penghapusan pencen itu turut melibatkan semua lantikan politik dalam kerajaan, semua orang kini menarik nafas lega.

Noraini Nordin

Menurut PMX, kerajaan bersetuju dengan keputusan pemansuhan pencen itu dan ia termasuk ahli politik yang dilantik sebagai Menteri, Menteri Besar dan wakil rakyat.


"Apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam, ia terpakai juga bagi ahli politik.


"Maknanya, kalau kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga termasuk semua lantikan baharu daripada kalangan ahli politik.


"Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, jadi Menteri dan kemudian jadi Timbalan Perdana Menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.


"Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini.


"Secara prinsipnya, saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam adalah terpakai juga bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri akan putuskan," katanya.


Dengan penjelasan Perdana Menteri itu, tidak berbangkit lagi tanggapan bahawa pemansuhan pencen itu sebagai tidak adil kerana kononnya hanya melibatkan penjawat awam semata-mata.


Cadangan adil atas sebab kewangan negara


Terbukti dan terang lagi bersuluh kini, lantikan baharu daripada kalangan ahli politik dalam kerajaan juga tidak lagi akan menikmati skim pencen.


Bermakna, selepas ini sama seperti penjawat awam lantikan baharu, pemegang jawatan politik dalam kerajaan juga hanya menikmati skim caruman KWSP sahaja.


Dalam erti kata lain, cadangan kerajaan berkaitan pemansuhan pencen ini adalah adil dan benar-benar diputuskan atas sebab beban kewangan yang semakin menghimpit dan tidak mampu lagi ditanggung secara berterusan.


Bersama pencerahan Perdana Menteri itu, tiada lain ungkapan yang lebih sesuai ditujukan melainkan - tahniah dan syabas.


Yang jelas, semua orang kini nampaknya harus berkorban untuk sama-sama meringankan beban kewangan negara bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang.


Semua harus berkorban, tetapi tiada sesiapa yang 'dikorbankan' atau dijadikan 'korban'.

Ayuh, jangan lagi menyimpan bara. Terus mara bersama PMX membina negara Madani yang cemerlang.

________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page