top of page

Isu pembangunan Kg Sg Baru: Menteri, PKB enggan jawab persoalan sebenar - Khalid Samad



Isu pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur tidak seharusnya berlanjutan sekiranya Menteri Wilayah dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dalam kenyataan terbaharu menjawab persoalan sebenar.


Menurt mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Ir Khalid Samad, kenyataan kedua dua pihak yang membidas beliau kerana didakwa masuk campur dalam hal pembangunan Kg Sungai Baru tidak sedikit pun memberikan pencerahan kepada para penduduk yang merasakan diri mereka telah dizalimi oleh kerajaan.


Khalid mencadangkan agar kedua dua pihak menjawab persoalan penting yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Bertindak Sungai Baru dengan jelas dan jangan bermain politik.


"Peroalan utama, kenapa Kerajaan terlibat dengan projek swasta ini sehingga sanggup menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960?


"Ini tidak dijawab. Pihak PKB memberikan gambaran sekiranya projek berkenaan gagal, maka kerajaan kena bayar gantirugi kepada semua pihak. Mengapa? Adakah pihak kerajaan pernah menjadi penjamin kepada projek ini sepertimana ianya telah menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh 1MDB?


"Kalau benar kerajaan menjadi penjamin sila kemukakan segala dokumentasi berkaitannya. Jika tidak mengapa perlu bayar ganti rugi itu," kata Khalid dalam kenyataan hari ini.


Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mempertikaikan hujah Menteri Wilayah bahawa 328 pemilik rumah akan kehilangan tempat tinggal sekiranya projek pembangunan Sungai Baru tidak dijalankan. Hal itu kerana rumah-rumah mereka tidak lagi sesuai untuk diduduki.


Kata Khalid, sekiranya hal itu benar maka pemaju perlu menjelaskan mengapa mereka mempelawa semua pemilik rumah berkenaan berpindah keluar dan meninggalkan rumah-rumah mereka sekiranya persoalan kelulusan pembangunan itu belum lagi selesai secara muktamad pada ketika itu?


Adakah wajar, katanya, atas sebab kesilapan pemaju terlalu gopoh memindahkan sebahagian pemilik, maka pemilik yang tidak bersetuju dengan tawaran yang diberikan dikenakan Akta Pengambilan Tanah? Tindakan sebegitu sememangnya dilihat bertujuan membela dan membantu pemaju dan ini menimbulkan banyak persoalan dan andaian, kata beliau.


Khalid juga mahu Menteri Wilayah dan PKB bertanya kepada pemilik mengapakah mereka menolak tawaran pemaju sebelum ini.


"Pihak pemilik menolak kerana berdasarkan penilai bebas tanah di situ bernilai RM 1,500 sekaki persegi kerana tanah berkenaan tiada sekatan dan bukan Rezab Melayu.


"Dulu (sewaktu usaha pembangunan era PH) ada yang mendakwa tanah Kampung Baru yang merupakan tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) dengan segala sekatannya, bernilai RM 3,000 sekaki persegi. Ke mana perginya suara-suara hero Melayu ini sekarang?


"Juga difahamkan harga yang ditawarkan (kepada penduduk Kg Sg Baru) belum dinyatakan secara jelas, khususnya bagi pemilik rumah teres dan sekiranya begitu, bagaimana pemilik akan bersetuju?


"Begitu juga dengan pemilik flat yang kita difahamkan dinilai harga pampasan hanya sekadar RM200,000. Rumah apa yang mereka boleh beli dengan harga RM200,000 di kawasan Kuala Lumpur? Bagaimana mereka boleh bersetuju?" tanyanya.


Selain itu, ujar Khalid, pemilik tanah juga khuatir sekiranya pemaju gulung tikar maka nasib mereka tidak akan terbela.


Berdasarkan pemahaman beliau mengenai kes projek terbengkalai di Ijok, Kuala Selangor di mana pemilik-pemilik tanah telah tidak mendapat pampasan seperti yang dijanjikan kerana projek terbengkalai, sedangkan tanah mereka telahpun diserahkan kepada pemaju dan pemaju mencagarkan tanah dengan bank untuk projek pembangunan, maka hal itu akan menganiaya pemilik tanah.


Bagaimanapun kata Khalid, penduduk tidak menolak kemajuan cuma mereka mahukan hak terbela dan tidak dipaksa menyerahkan tanah menggunakan Akta Pengambilan Tanah.


"Saya mencadangkan Menteri dan PKB bertemu dengan pemilik-pemilik terbabit dan berbincang dengan mereka secara baik.


"Harap maklum, mereka bukanlah setinggan tetapi pemilik sah bergeran maka hormatilah hak mereka. Kalau setinggan pun dilayani dengan baik, khususnya di Selangor, apatah lagi pemilik tanah yang sah dan bergeran," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page