Isu MH17: Malaysia suarakan secara langsung kepada Rusia - PM
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Isu nahas penerbangan Malaysia ditembak jatuh di Ukraine dan hasil keputusan siasatan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menjadi isu yang dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia.
Kata PM, selain dapat menyuarakan isu berkenaan, ruang perbincangan tersebut penting bagi mendapatkan gambaran sebenar dan penjelasan terus daripada kerajaan Rusia berkaitan isu yang telah lebih sedekad berlalu itu.
"Ini merupakan ruang penting untuk kita mendapatkan penjelasan terus daripada kerajaan Rusia mengenai keputusan ICAO.
"Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil," katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, Malaysia akan terus berjuang memastikan nasib mangsa serta keluarga mereka yang terkesan mendapat pembelaan dan pampasan sewajarnya.
"Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini," katanya lagi.
Kelmarin, ICAO memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.
Sebelum ini Rusia menafikan peralatan tenteranya digunakan untuk menembak jatuh pesawat tersebut.
Nahas MH17 berlaku pada 17 Julai 2014 apabila kapal terbang penumpang dari dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh kumpulan pemisah pro-Rusia berdekatan Torez di wilayah Donetsk, Ukraine.