Isu KEADILAN menggunakan logo parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menjejaskan perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu berkenaan sengaja diperbesar besarkan seolah olah sebelum ini tidak pernah berlaku dalam gabungan pembangkang menggunakan logo berasingan.
"Masalah logo tidak menjejaskan hubungan. Pilihan Raya Umum 2013 kita guna logo masing masing. Pakatan Rakyat masa itu mantap.
"Kemudian PRN Sabah, KEADILAN pakai KEADILAN, DAP guna Warisan tetapi tidak menjejaskan hubungan. Kemudian Sarawak.
"Hubungan pimpinan PH masih mantap. Ada orang cuba nak guna isu logo ini sebab memecah (PH), tidak. Dasar sama, manifesto sama," katanya.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, strategi pilihan raya ada pelbagai pendekatan dan tidak salah sesebuah parti politik yang lebih dikenali kerana logonya menggunakan logo itu untuk meraih undi.
"Kita guna kerana sentimen di desa, terutama orang Melayu, itu pandangan kita. Bila bincang itu disepakati, saya fikir tidak ada masalah
"Bagi kita lebih mudah, orang dah kenal logo itu di kawasan desa. Orang di bandar dan pinggir bandar lebih mudah menerima perubahan (logo baru).
"Yang pentingnya untuk bersama lawan, menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan fahaman perkauman sempit dalam negara kita," kata Anwar lagi.
Comments