Isu logo: Majlis Presiden belum buat keputusan, Howard jangan terburu-buru - Syukri Razab



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia memandang serius respons Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee berhubung isu penggunaan sekali lagi logo KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Menurut Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab, kenyataan Howard bahawa PH telah pun membuat keputusan untuk menggunakan logo gabungan itu dalam PRU akan datang adalah terburu-buru kerana keputusan muktamad belum dibuat oleh Majlis Presiden.


"Dalam hal ini Howard perlu bersikap terbuka dengan pendirian akar umbi KEADILAN yang tegas mahukan logo parti dipilih sebagai logo PH dalam PRU 15. Desakan yang dibuat oleh akar umbi KEADILAN seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan disokong dengan hujah yang kuat. Mereka membawa fakta bagaimana logo berkenaan telah terbukti meraih sokongan majoriti rakyat Malaysia dalam PRU yang lalu.


"Ternyata pemilihan logo KEADILAN sebelum PRU14 merupakan langkah yang tepat walaupun ketika itu PH memiliki 4 logo yang boleh dipilih iaitu logo DAP, Amanah, Bersatu dan KEADILAN.


"Amat tidak wajar Howard menggunakan nama Majlis Pakatan Harapan untuk menafikan merit desakan akar umbi KEADILAN ini. Lebih tidak wajar apabila mendendangkan seolah-olah keputusan telah dibuat di peringkat Majlis Presiden PH," katanya.


Tambah Syukri, hujah Howard bahawa Presiden KEADILAN sendiri menggunakan logo PH dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 2018 tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk menerima logo berkenaan.


Katanya selain Port Dickson kubu kuat KEADILAN dan Anwar calon berkarismatik yang boleh menang mudah, perkiraan lain turut perlu disertakan, seperti penerimaan logo PH di Malaysia Timur dan kawasan pedalaman Semenanjung.


"Howard melontarkan hujah Anwar Ibrahim memenangi kerusi Port Dickson dengan logo PH. Bagi beliau tidak ada alasan meragui kekuatan logo PH.


"Saya kira hujah ini mengambil mudah soal strategi Pilihan Raya yang lebih rumit dan rencam. Malah pelajar sekolah rendah pun boleh faham bahawa sosok Anwar merupakan seorang ‘Winnable Candidate’ walaupun diletakkan di kerusi yang paling sukar.


"Kemenangan Anwar adalah kerana nama dan kredibiliti beliau yang sememangnya sudah dikenali seluruh negara. Mungkin jika Howard menggunakan logo PH dan bertanding di Tanjung Malim, keputusannya boleh jadi berbeza.


"Justeru saya menasihatkan beliau untuk bertenang dan tidak terlalu bersungguh-sungguh untuk mematikan pandangan kritis akar umbi KEADILAN," katanya lagi.


Sehubungan itu, Syukri mengharapkan Majlis Presiden PH membuat keputusan berhubung isu logo berdasarkan fakta dan data.


Tambahnya, satu kajian lapangan oleh agensi bebas perlu dijalankan terlebih dahulu bagi memilih logo terbaik yang akan digunakan sebagai lambang PH dalam PRU 15. PH tidak boleh bermudah-mudah kerana telah mempunyai logo berdaftar maka logo tersebut wajib diguna dalam pilihan raya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER