Isu LCS: Syed Saddiq jangan tunggang isu, ghairah kejar populariti
- Suara Keadilan
- Jun 13, 2023
- 2 min read

Isu kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang cuba disiapkan pembinaannya oleh Kerajaan Perpaduan tidak perlu digunakan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman untuk mendapatkan populariti.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Razeef Rakimin berkata isu LCS tidak perlu dibangkitkan secara senada dengan pembangkang, sedangkan Syed Saddiq adalah Ahli Parlimen kerajaan.
Katanya, Kerajaan Perpaduan lebih mengutamakan aset TLDM dan cuba menyelesaikan pembinaan kapal tempur berkenaan sebagai keutamaan di samping tidak menutup mata berhubung isu penyelewengan.
Oleh itu, katanya, Syed Saddiq tidak wajar menyalahkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kerana menolak usul tergemparnya tempoh hari.
"Syed Saddiq sekali lagi dilihat cuba menunggang isu yang sedang dalam proses penyelesaian. Kali ini melibatkan isu pembinaan enam LCS yang telah pun diterima oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan hampir kepada penyelesaian oleh kerajaan.
"Sebelum ini beliau menghantar satu usul tergempar di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) bagi membahaskan isu projek pembinaan enam buah kapal LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Walau bagaimanapun usul berkenaan ditolak oleh Yang DiPertua (YDP) Speaker Dewan Rakyat kerana Syed Saddiq sendiri gagal menyatakan mengapa perkara itu perlu dibahas segera dan berkenaan kepentingan orang ramai.
"Syed Saddiq kemudian dengan biadab menyindir YDP Speaker seolah YDP Speaker sengaja menolak kerana isu itu. Ini jelas sebagai cubaan menimbulkan presepsi buruk terhadap YDP Speaker.
"Ini kenyataan yang 'misleading', sedangkan telah dimaklumkan PAC telah meminta Kementerian Pertahanan membentangkan laporan kemajuan pembinaan LCS setiap tiga bulan sehingga projek tersebut selesai dan PAC telah melawat TLDM Lumut serta membuat siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Razeef, Syed Saddiq sewajarnya menghormati keputusan Speaker dan menyokong tindakan kerajaan menyelesaikannya secara baik berbanding mencari populariti dengan isu tersebut.
"Sebelum ini Pakatan Harapan berjanji akan menyelesaikan isu LCS dan sehingga hari ini pemimpin Pakatan Harapan tidak pernah lari dari usaha menyelesaikan pembinaan kapal dengan kadar segera di samping siasatan bagi mengheret individu yang menyelewengkan projek ini.
"Berkenaan peningkatan kos yang berpunca dari perubahan dan penambahan spesifikasi serta inflasi juga telah dijawab namun Syed Saddiq masih mengulangi soalan sama seolah beliau terlalu 'bebal' untuk memahami," katanya.
Selain itu, beliau juga tidak melihat Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai mengugut Syed Saddiq sebagaimana didakwa.
Katanya, AMK hanya menegur sikap pemimpin MUDA itu terhadap Speaker Dewan Rakyat.
"Namun hari ini beliau memutar belit teguran AMK sebagai satu ugutan supaya beliau tidak menyuarakan isu rakyat dan ini sangat tidak benar.
"Saya ingin menasihati Syed Saddiq agar tidak terlalu gopoh menunggang isu yang sedang diselesaikan. Kerajaan Perpaduan hari ini telah memberi komitmen penuh dalam menyelesaikan isu ini serta ruang untuk berbahas dibuka seluas-luasnya setelah PAC memberikan laporan penuh.
"Kita faham dalam keadaan MUDA yang terdesak kerana tidak ada isu populis lain untuk ditunggang sempena Pilihanraya Negeri, tetapi MUDA perlu lebih matang dalam mengangkat suatu isu," katanya lagi.
コメント