Isu larangan istilah kafir: Fadhlina berpegang teguh kepada Islam - AMK
- Suara Keadilan
- Apr 1, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Biro Pendidikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia membidas sangkaan jahat terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu larangan istilah kafir yang diambil di luar konsensus demi mencalarkan imej dan kredibiliti beliau.
Sayap AMK itu berkata, isu tular tersebut yang mendakwa Fadhlina Sidek melarang penggunaan perkataan "kafir" sengaja diambil di luar konteks sebenar dengan membuat andaian serta memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan fitnah.
"Hakikatnya, Fadhlina Sidek sangat berpegang teguh kepada ajaran Islam kerana bapa beliau juga merupakan seorang tokoh ilmuan dan agamawan di Malaysia.
"Sepanjang beliau menjadi Menteri Pendidikan sejak tahun 2023, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memartabatkan dan memperkasakan syiar Islam yang bermula di sekolah.
"Antaranya pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dilancarkan pada bulan Ogos 2023. Pelaksanaan ini bertujuan untuk meningkatkan penghayatan hadis dengan memastikan nilai pesanan dalam hadis tersebut dapat difahami, selain memupuk semangat kasih sayang dalam kalangan pelajar beragama Islam," kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan modul terbabit juga dapat menerapkan asas kefahaman agama kepada murid beragama Islam serta membentuk sahsiah diri yang mampu mengangkat martabat insan.
Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan Menteri Pendidikan turut dilihat amat rapat dengan perjuangan rakyat Palestin dan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di setiap sekolah sejak Oktober 2023.
Tambahnya, tujuan Minggu Solidariti Palestin adalah untuk memberikan kesedaran, pencerahan serta kefahaman kepada anak-anak murid di sekolah terhadap isu yang berlaku di Palestin, selain menunjukkan sokongan dan dokongan rakyat Malaysia kepada mereka.
"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula telah berjaya mengutip dana sebanyak RM11.5 juta untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin sebagai tanda sokongan dan solidariti.
"Walaupun Fadhlina Sidek sering dikecam dan difitnah oleh pihak tertentu tetapi beliau terus komited menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pendidikan sehingga berjaya melaksanakan dasar yang gagal dibuat oleh pihak pembangkang semasa mereka menjadi kerajaan sebelum ini," ujar kenyataan itu lagi.
Sejak kelmarin tular video yang disunting memetik ucapan Fadhlina yang disalah tafsir kononnya melarang penggunaan istilah kafir.
Sedangkan menurut Fadhlina ucapan yang beliau lakukan dalam pertemuan tertutup sebelum ini adalah berkisar ke atas gelaran 'kafir' kepada bukan Islam bertujuan untuk memperlekeh atau menghina yang sememangnya ditegah oleh agama Islam.
Comments