Isu KWAP: Tolak fitnah kaitkan PM, hormati proses siasatan
- Suara Keadilan
- 1 minute ago
- 2 min read

Rakyat wajar menilai setiap maklumat yang tersebar di media sosial secara bijaksana serta tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan naratif palsu berhubung isu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit berkata, masyarakat perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai pelaburan KWAP di Indonesia yang menghadapi kerugian akibat ditipu oleh syarikat eFishery.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bijaksana dalam menilai setiap maklumat yang disebarkan di media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan fitnah serta naratif palsu yang sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan isu KWAP," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abun, beliau sendiri berada di Dewan Negara pada 20 Julai lalu ketika Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.
"Pada 20 Julai 2026, saya sendiri berada di dalam Dewan Negara ketika Datuk Seri Anwar, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, memberikan penjelasan berhubung isu KWAP. Penjelasan tersebut dibuat secara terbuka di Dewan Negara, institusi tertinggi Parlimen Malaysia, dan boleh dirujuk oleh semua pihak," ujarnya.

Beliau berkata, sebarang dakwaan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan kehilangan atau penyelewengan wang KWAP adalah tidak wajar selagi siasatan belum dimuktamadkan.
"Adalah tidak wajar mana-mana pihak terus mengaitkan Datuk Seri Anwar dengan dakwaan kehilangan atau penyelewengan wang KWAP sedangkan perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa. Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang. Biarlah siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional sebelum sebarang kesimpulan dibuat," katanya.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang juga menggesa mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai bukti penglibatan Perdana Menteri dalam penyelewengan dana KWAP supaya membuat laporan kepada polis.
"Mana-mana pemimpin yang membuat tuduhan bahawaDatuk Seri Anwar terlibat dalam penyelewengan wang KWAP sepatutnya tampil membuat laporan polis atau laporan kepada SPRM serta mengemukakan bukti yang sah. Jangan hanya bermain persepsi, menyebarkan fitnah dan membina naratif palsu untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan politik," cabar beliau.
Abun menegaskan bahawa tuduhan tanpa bukti bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh mencemarkan reputasi individu dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan keyakinannya bahawa Anwar tidak menyalahgunakan dana KWAP, sambil menekankan prinsip bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah sebelum dibuktikan sebaliknya mengikut proses undang-undang.
"Saya secara peribadi yakin bahawa Datuk Seri Anwar tidak menyalahgunakan walau satu sen wang KWAP. Keyakinan saya ini berasaskan penjelasan yang telah diberikan dan prinsip bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah sebelum dibuktikan sebaliknya mengikut proses undang-undang," katanya lagi.
Untuk rekod, isu kerugian KWAP telah disiasat secara dalaman oleh badan itu. Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh sama ada terlibat isu pelanggaran undang undang.
