top of page

Isu kuil: Kerajaan tangani berhemah, jangan korbankan keharmonian

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 hours ago
  • 2 min read


Polemik dan perbalahan berhubung isu kuil yang kembali hangat kebelakangan ini tidak seharusnya diperbesar sehingga menjejaskan keharmonian negara, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan.


Beliau mengakui berasa sedih melihat perdebatan yang menurutnya sengaja dipolemikkan sedangkan isu berkenaan sedang ditangani secara teliti dan berhati-hati oleh kerajaan.


"Jujurnya saya agak sedih melihat perbalahan dan polemik kebencian yang sengaja diperbesar di atas suatu isu yang sebenarnya sedang ditangani dengan baik, teliti dan berhati-hati.


"Apakah yang kalian mahu agar hati mampu dipuaskan dalam isu kuil ini? Apakah pergaduhan mampu selesaikan isu? Atau dengan menghancurkan keharmonian serta kestabilan? Perang dan berbunuhan? Apakah hasilnya?" soalnya dalam satu kenyataan.

Edy Noor Reduan
Edy Noor Reduan

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI menunjukkan kesungguhan menyelesaikan isu berkenaan secara berhemah walaupun sebahagian besar isu pembinaan kuil yang dipertikaikan berlaku sejak pentadbiran terdahulu.


"Tanyalah diri, adilkah kerajaan hari ini dipersalahkan hanya kerana bertindak dan berperanan dengan lebih bertanggungjawab?" katanya.


Edy Noor turut menyeru masyarakat Hindu supaya memahami bahawa isu utama bukanlah jumlah kuil, sebaliknya berkait soal lokasi dan status tapak pembinaan.


"Isu pokoknya bukanlah jumlah kuil, tetapi lokasi tapak kuil yang dibina. Apakah kalian setuju bahawa kesucian rumah ibadat tidak menghalalkan pencerobohan atau pengambilan hak orang lain?


"Maka saya seru supaya setiap kuil yang baharu hendak dibina wajib mengikut peraturan, melalui prosedur sah dan didaftarkan sebelum pembinaan bermula," tegasnya.


Beliau menambah, sekiranya rumah ibadat dibina tanpa mengikut peraturan atau melibatkan pencerobohan tanah, tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan adalah perkara asas dalam undang-undang dan pentadbiran negara.


Dalam kes kuil yang telah dibina di atas tanah milik individu atau kerajaan, beliau mencadangkan rundingan dilakukan sehingga mencapai penyelesaian termasuk pembelian tanah sebagai tapak ganti jika perlu.


"Apa yang saya tulis ini bukan khusus untuk kuil sahaja, ia terpakai untuk semua jenis rumah ibadat," katanya.


Mengulas kes kuil di tanah milik Jakel yang diselesaikan melalui rundingan dengan sedikit ihsan DBKL dan pampasan oleh pihak syarikat, beliau menegaskan ia bukan satu ‘precedent case’.


"PMX sendiri memberi ketegasan bahawa cukuplah yang ini kita beri ruang demi mencapai harmoni. Sikap toleransi yang ditonjolkan ini janganlah diambil kesempatan dan dibuat ringan," katanya.


Edy Noor turut menyeru masyarakat Melayu Islam agar memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam menangani isu berkenaan secara adil dan tegas.


"Isu kuil bukan bermula ketika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Maka saya seru berilah sokongan agar PMX mampu selesaikan isu ini dengan lebih baik.


"Ya, memang kita sedang bertolak ansur, tapi kita juga pastikan ia tidak diambil mudah. Kita tunjukkan contoh yang baik sebagaimana tuntutan agama, dengan sikap toleransi dan kesabaran," katanya.


Beliau menambah bahawa prinsip Rahmatan lil ‘alamin harus menjadi pedoman dalam mendepani isu sensitif melibatkan rumah ibadat dalam masyarakat majmuk.


"Semoga negara kita terus harmoni, membawa kepada kestabilan dan seterusnya bergerak cemerlang sebagai sebuah negara Islam contoh bermasyarakat majmuk," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page