top of page

Isu kewarganegaraan pemain warisan: Perlukah FAM dikenakan tindakan?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 2 min read
ree

Kementerian Belia dan Sukan perlu mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan tegas ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan tindakan FIFA terhadap isu pemain warisan yang terlibat dakwaan pemalsuan dokumen dan pelanggaran serius peraturan badan bola sepak antarabangsa.


Bagi aktivis politik, Yuslami Azmi, selepas hampir dua bulan pendedahan dibuat situasi semakin meruncing apabila FIFA mengekalkan hukuman ke atas FAM dengan denda CHF 350,000 (RM1.8 juta) manakala tujuh pemain warisan digantung aktiviti bola sepak selama 12 bulan serta didenda CHF 2,000 (RM10,600) setiap seorang.


"Krisis ini melebar apabila FIFA mendedahkan pemalsuan dokumen yang dilakukan oleh FAM dan mengarahkan negara terlibat seperti Argentina, Brazil, Belanda, Sepanyol dan Malaysia untuk menyiasat hal ini," katanya.


Ujar Yuslaini, pendedahan tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap integriti negara dalam proses pemberian kewarganegaraan, justeru memerlukan campur tangan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia yang perlu menyiasat siapa dalang pemalsuan dokumen, manakala mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga harus menyiasat sekiranya wujud unsur rasuah dalam pemberian kewarganegaraan.


Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang dakwanya enggan campur tangan dalam menangani hal tersebut.

Yuslami Azmi
Yuslami Azmi

"Hannah Yeoh tidak perlu campur tangan dalam persatuan sukan, cukup sahaja meminda beberapa seksyen dalam Akta Pembangunan Sukan 1997, kerana itu adalah tugas utama beliau sebagai seorang menteri menggubal dasar atau akta seiring dengan peredaran masa hari ini," katanya.


Menurut beliau, tiada pembaharuan dasar signifikan dilakukan di bawah kementerian sejak Hannah Yeoh dilantik, kecuali pelaksanaan Kod Sukan Selamat yang sudah pun diusahakan oleh menteri terdahulu.


Sehubungan itu, Yuslaini menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sekurang kurangnya telah memberikan kuasa yang jelas kepada Menteri Belia dan Sukan untuk bertindak.


"Menurut Akta Pembangunan Sukan 1997 iaitu Akta 576, Hannah Yeoh mempunyai kuasa kerana boleh membuat lantikan dalam Pesuruhjaya Sukan mengikut klausa 10 dan 11 di mana pesuruhjaya tersebut boleh membatalkan pendaftaran sesuatu badan sukan," katanya.


Justeru beliau berpendapat berdasarkan kuasa yang ada, FAM perlu digantung atas pelanggaran peraturan FIFA. Yuslaini juga menegaskan bahawa integriti negara sedang diperhatikan dunia lewat skandal terkait FAM itu.


"Pendapat ini mungkin tidak popular, tetapi apa lagi yang tinggal untuk maruah negara jika tiada tindakan diambil?


"Kita boleh sapu di bawah karpet, tetapi dunia sedang memerhati," katanya.


Tambah beliau, keputusan tegas amat perlu dibuat sebagai pengajaran supaya mana-mana pentadbir badan sukan tidak melanggar peraturan sesuka hati sehingga mencemarkan nama negara.


Dalam Seksyen 22, katanya, sekiranya badan sukan digantung maka satu jawatankuasa ad hoc boleh dilantik untuk mengurus hal ehwal badan sukan itu tidak melebihi dari 12 bulan, sementara persatuan sukan terbabit mengemukakan rayuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page