Isu kewangan faktor utama kecelaruan anak muda bina keluarga — AMK Gombak
- Suara Keadilan
- 9 minutes ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak menegaskan bahawa beban kewangan menjadi faktor terbesar yang menjejaskan kemampuan anak muda untuk membina serta mempertahankan institusi keluarga pada waktu ini.
Timbalan Ketua AMK Gombak, Hayee Zailani (gambar) berkata, kos sara hidup yang semakin menghimpit telah menyebabkan banyak belia menangguhkan perkahwinan malah turut menyumbang kepada kadar perceraian yang membimbangkan.
"Perkahwinan yang sepatutnya menjadi asas kebahagiaan akhirnya bertukar menjadi perangkap hutang. Tekanan membayar pinjaman peribadi, kad kredit, dan kos sara hidup pasca perkahwinan menyebabkan ramai belia terjerumus ke kancah muflis.
"Situasi ini bukan sahaja meruntuhkan institusi keluarga, malah menjejaskan produktiviti ekonomi anak muda," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau merujuk laporan The Malaysia Press pada 22 Julai lalu yang mendedahkan hampir 39% pasangan belum berkahwin menunda perkahwinan kerana masalah kewangan, selain laporan MalaysiaGazette pada 29 Jun 2024 yang menegaskan faktor kewangan kekal sebagai punca utama perceraian.
Hayee turut mengingatkan bahawa fenomena muflis dalam kalangan anak muda selepas berumah tangga semakin meruncing, seperti yang dilaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada September 2024.
Sehubungan itu, AMK Gombak mencadangkan lima perkara untuk dipertimbangkan kerajaan dalam menyelesaikan masalah anak muda antaranya reformasi Dasar Ekonomi Belia dengan pakej sokongan kewangan untuk pasangan muda; Pendidikan literasi kewangan menyeluruh di sekolah dan universiti; Sokongan psikososial dan kaunseling keluarga yang menekankan pengurusan kewangan; Pemerkasaan ekonomi anak muda melalui peluang pekerjaan, keusahawanan dan ekonomi digital; serta menghadkan beban perkahwinan berhutang serta menggalakkan konsep majlis perkahwinan sederhana.
"Jika kita serius mahu melahirkan masyarakat Madani yang kuat, maka pelaburan terbesar perlu diberi kepada generasi muda sebagai tunjang keluarga dan masa depan negara," tegas Hayee lagi.