Isu kekurangan beras, legasi polisi abai pertanian Tun M - Dr Azman
- Suara Keadilan
- Feb 21, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kegagalan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad mengimbangi dasar perindustrian negara dan keterjaminan makanan ketika mentadbir negara didakwa menjadi punca kekurangan beras di Malaysia.
Pengerusi Biro Petani KEADILAN, Dr Azman Ismail berkata hal itu kerana Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri Keempat, dua dekad lalu terlalu obses kepada dasar perindustrian dan mengabaikan sektor pertanian sehingga Malaysia tidak lagi mencapai tahap negara mampu mengeluarkan beras mencukupi sebagaimana jirannya Thailand dan Vietnam.
"Dasar Tun M yang mengabaikan pertanian selama dua dekad itulah yang merupakan di antara sebab besar kita mengalami krisis yang kita hadapi sekarang.
"Namun itu sudah sejarah, sama seperti Tun M yang sudah menjadi sejarah. InsyaAllah kita akan segera bersungguh-sungguh berusaha mengatasi masalah peninggalan Tun M ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Justeru, Azman yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yakin dasar Kerajaan Perpaduan seperti Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan mampu melonjakkan hasil penanaman padi negara.
Hal itu, katanya, projek rintis itu diambil kerana kaedah dan formula pengurusan yang dilaksanakan di Sekinchan sangat berkesan dalam membantu menaikkan angka hasil pengeluaran padi.
"Skim Smart SBB dilancarkan di berbagai tempat di seluruh negara. Pembukaan kawasan-kawasan baru pertanian di Sabah dan Sarawak juga sedang rancak dilaksanakan.
"Dijangka bekalan padi dan beras kita akan meningkat tinggi tidak lama lagi," ujarnya.
SMART SBB Ala Sekinchan adalah inisiatif kerajaan melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.
Sebanyak 17 kawasan penanaman padi mula dipergiat antaranya Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dalam hal berkaitan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berhasrat menjadikan Sabah dan Sarawak jelapang padi kedua negara.
Yorumlar