Isu kehakiman: Rafizi tiada keperluan gerakkan forum awam - Sivarasa
- Suara Keadilan
- Jul 7
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengerusi Biro Guaman KEADILAN Malaysia, R Sivarasa (gambar) berpendapat, perancangan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mahu menggerakkan forum awam di seluruh negara bagi memberi kesedaran dan meraih sokongan rakyat dalam isu kehakiman adalah satu tindakan yang tidak perlu dilakukan.
Hal itu kerana, menurut beliau, isu kehakiman perlu dibincangkan sebagai satu isu dasar yang lebih mendalam di peringkat jawatankuasa Parlimen dan sebagainya mengenai keperluan perubahan dalam sistem sedia ada dalam Perlembagaan.
''Bagi saya isu pelantikan hakim tidak perlu reaksi seperti itu (mengadakan forum awam).
''Cadangan Rafizi itu tidak setimpal dengan keadaan semasa kerana badan kehakiman negara kini mempunyai pemangku Ketua Hakim Negara dan pemangku Ketua Mahkamah Rayuan, justeru tiada isu dan semuanya berjalan seperti biasa.
''Saya rasa dalam beberapa tempoh beberapa bulan lagi, mungkin satu atau dua bulan, Datuk Seri Anwar akan menyelesaikan isu siapa akan menjadi Ketua Hakim Negara secara kekal,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Rafizi untuk mengadakan forum awam di seluruh negara bagi memberi kesedaran tentang isu pelantikan hakim.
Sivarasa, yang juga mantan Ahli Parlimen Sungai Buloh menyatakan, apa yang sedang berlaku dalam institusi kehakiman kini adalah proses yang mengikut Perlembagaan dan tiada sebarang salah laku.
''Mungkin ada pihak berpendapat Datuk Seri Anwar tidak seharusnya memainkan peranan dalam pelantikan hakim, namun mereka perlu menerima hakikat bahawa peranan tersebut adalah jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan,'' ujarnya lagi.
Terdahulu, Rafizi yang juga mantan Timbalan Presiden KEADILAN mengetuai kumpulan yang dianggotai seramai sembilan Ahli Parlimen parti itu menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.
Rafizi mendakwa, ia kerana keputusan kes mahkamah kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Sebagai Ahli Parlimen katanya, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang Kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Rafizi memaklumkan beliau akan menggerakkan satu kempen dalam kalangan Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan dalam isu pelantikan hakim tersebut.
Comments