Isu kehakiman perlu berasaskan fakta, bukan persepsi politik - Intelek
- Suara Keadilan

- Jul 8
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Segala isu dan perbincangan yang melibatkan institusi kehakiman negara mestilah berlandaskan fakta sahih dan bukan bersandarkan kepada persepsi yang dicipta sama ada oleh ahli politik atau pihak lain.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek Terengganu), Ahmad Nadhir Yob berkata institusi kehakiman merupakan sebuah entiti yang penting dan memiliki kedudukan yang tinggi dalam sistem negara.
Oleh itu, katanya, institusi tersebut tidak wajar dikritik atas dasar spekulasi atau dakwaan tanpa bukti.
''Integriti institusi kehakiman negara mestilah dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana institusi kehakiman negara adalah tunjang kepada keadilan kepada rakyat.

''Kami menyeru segenap lapisan masyarakat agar bijak menanggapi isu-isu berkaitan institusi kehakiman negara dengan merujuk kepada fakta sahih dan bukannya berpegang kepada persepsi salah yang mewujudkan sangkaan tidak baik terhadap integriti dan perjalanan institusi kehakiman negara,'' katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian yang telah dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini berhubung isu melibatkan bidang kehakiman menjawab kenyataan media Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Memetik laporan media, AGC memperkecilkan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen KEADILAN semalam berhubung kemungkinan berlakunya krisis dalam badan kehakiman.
AGC menyatakan bahawa perbandingan dengan skandal VK Lingam amatah tidak wajar kerana tidak berlaku sebarang dakwaan kecurangan penghakiman berbanding peristiwa yang dirujuk.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu mengakui dakwaan terhadap seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa campur tangan dalam keputusan dan pelantikan kehakiman adalah perkara serius.
AGC bagaimanapun menjelaskan perbincangan dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), lokasi dakwaan itu dibangkitkan adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.
Menurut jabatan itu lagi, dakwaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai salah laku yang telah dibuktikan atau menjejaskan kebebasan badan kehakiman.









Comments