Isu kasut Vern’s: Siasat menyeluruh pastikan tiada pihak teraniaya - AMK
- Suara Keadilan
- Apr 9, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyeru siasatan berhubung insiden logo kasut didakwa mirip kalimah Allah dilaksanakan secara seimbang di antara wakil syarikat dan individu yang membuat aduan.
Pengarah Komunikasi Haziq Azfar berkata, insiden membabitkan tapak kasut keluaran jenama Vern's itu perlu dilakukan secara menyeluruh kerana dibimbangi boleh memberi kesan kepada masyarakat.
"Fabrik sosial rakyat Malaysia berada di tahap yang membimbangkan.
"Tidak berbaloi rakyat Malaysia saling bercakaran dan mengoyakkan kain ini lagi hanya berdasarkan isu-isu yang tidak jelas kesahihannya," kata Haziq dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah ia perlu dilakukan berpandu kesahihan (authenticity) isu yang dibawa dan tidak dilakukan secara semberono sehingga berupaya menganiaya pihak lain.
"Sekiranya siasatan lanjut oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan JAKIM mendapati tiada sebarang asas yang kukuh terhadap dakwaan yang dibuat, maka individu yang memulakan dakwaan tersebut wajar menghadapi akibatnya (face the consequences) khususnya apabila secara cuai menyebarkan berita palsu," ujarnya.

Tegas sayap parti KEADILAN itu dalam mempertahankan prinsip keadilan setiap pihak perlu diberi hak di tempat yang betul.
Terdahulu, Pengurusan Vern's Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.
Pihak pengurusan kasut itu memaklumkan bahawa rekaan tersebut sama sekali tidak berniat dan bertujuan memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Pensyarah Bidang Pengajian Budaya Seni Visual, Pengkhususan Seni Islam dan Seni Khat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Nor Azlin Hamidon mengesahkan logo pada tapak kasut keluaran jenama Vern's yang didakwa seakan-akan kalimah Allah, tidak menyamai kalimah suci itu dalam aspek seni penulisan khat.
Jelasnya, logo berkenaan dilihat tidak menepati sebarang kaedah penulisan khat yang diterima secara tradisi dan reka bentuknya adalah dalam kategori khat bebas selain logo berkenaan mempunyai lebihan garisan yang merosakkan penulisan kalimah Allah.
Comments