Isu kalimah Allah: Pertahan hak penganut Islam, hormati keputusan mahkamah
- Redzuan Shamsudin
- May 16, 2023
- 2 min read

Isu penarikan rayuan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di atas penghakiman yang membenarkan Jill Ireland - seorang warga Sarawak bukan Islam - menggunakan kalimah Allah dilakukan berdasarkan kes berkenaan, dan bukannya terkait isu teologi.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, isu berkenaan seharusnya dilihat sebagai komitmen kerajaan dalam melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja di Malaysia khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan sungguhpun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan atau Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.
"Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.
"Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ianya didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014.
"Bersangkutan dengan hal ini, keputusan Kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan tersebut adalah dibuat mengikut case-by-case basis; tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan Mahkamah," kata kenyataan tersebut.
Menurut Kenyataan itu lagi, KDN memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986.
"Oleh itu KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan-bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuatkuasa," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menegaskan KDN ketika ini lebih memfokuskan kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kebebasan beragama tidak sampai membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.
Dalam pada itu, jelas KDN, biar pun memiliki kitab agama selain Islam yang mempunyai kalimah Allah untuk pembelajaran dan simpanan individu dalam kes Jill Ireland berpihak kepada individu terbabit namun kerajaan tetap menyatakan komitmennya terhadap pencegahan penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap bahan penerbitan yang memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa secara berterusan, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
"KDN sekali lagi menegaskan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sungguhpun setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan atau Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam," kata kenyataan itu lagi.
Комментарии