Semua pihak diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam sebarang isu di negara ini termasuk penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya Polis Diraja Malaysia merupakan agensi penguat kuasa yang dibenar mengambil tindakan dan sebagainya.
"(KDN) tidak benarkan mana-mana pihak ambil tindakan sendiri. Kalau keadaan itu berlaku, sistem negara akan jadi apa?
"Mana mana pihak kita anjurkan supaya tidak ambil tindakan sendiri dalam menghadapi apa jua situasi," katanya di majlis perjumpaan khas pengurusan tertinggi KDN bersama pengamal media di Putrajaya pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam proses siasatan berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh KK Mart cawangan Bandar Sunway di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sementara itu Saifuddin berkata, isu membabitkan penjualan stoking tidak wajar dipanjangkan kerana tindakan mengikut undang-undang telah dimulakan.
"Dalam uruskan isu rakyat ini, tiba-tiba sudah berminggu (kita) terpaksa fokus tajuk ini (isu stoking tertera kalimah Allah). Saya ingin jelaskan bahawa pendekatan terbaik adalah bila ada aduan, ia diselesai, disiasat dan dibawa ke muka keadilan.
"Kita perlu pandang ke hadapan dan jangan berlegar di atas polemik sama. Adakah ini isu besar? Ya dan sekarang tindakan sudah diambil," katanya.
Comments