
Tindakan penarikan semula rayuan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas keputusan mahkamah berhubung kes warga Sarawak, Jill Ireland yang membawa masuk bahan terbitan agama Kristian mengandungi kalimah Allah telah diselesaikan melalui penjelasan mantap oleh Perdana Menteri dan Menteri kabinet.
Namun bagi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), hal itu masih memerlukan penjelasan lanjut Jemaah Menteri (Kabinet) berhubung asas Peguam Negara memutuskan rayuan kes berkenaan ditarik balik atas alasan pentadbiran.
Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, rakyat juga perlu diberi jaminan mengenai langkah konkrit ke hadapan pihak Kerajaan berhubung Arahan Pentadbiran pada 1986 yang menjadi punca pertikaian tersebut agar hal sama tidak berulang kembali.
"ABIM melihat isu utama yang harus diberi perhatian di sini berhubung tafsiran Arahan Pentadbiran bertarikh 16 Mei 1986 yang ditafsirkan Mahkamah bercanggah dengan Pekeliling Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986.
"Memandangkan rayuan kes telah ditarik, ABIM menggesa pihak Kabinet untuk menjelaskan kekhilafan dengan memutuskan takrifan sebenar Arahan Pentadbiran bertarikh 16 Mei 1986 tersebut agar tidak timbul lagi sebarang percanggahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, ABIM mensyorkan Kerajaan Madani supaya memuktamadkan polemik tersebut dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri & Ors [2014] 4 MLJ 765, yang mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah untuk orang Islam sahaja, demi kemaslahatan kemajmukan masyarakat dalam negara.
"ABIM juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri bahawa Jemaah Menteri telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja.
"Pada masa sama Kerajaan memperkukuh perpaduan serta keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia," kata Faisal lagi.
Isu KDN menarik semula rayuan ke atas keputusan mahkamah berhubung kes Jill Ireland telah dipolitikkan secara menyimpang oleh beberapa pihak untuk mengelirukan rakyat kononnya Kerajaan tidak mahu merayu keputusan mahkamah yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Taktik memesongkan fakta dan mengelirukan rakyat itu dipercayai sengaja dilakukan bagi memberi kelebihan kepada pembangkang yang menggunakan isu agama dan kaum sempit menjelang pilihanraya di 6 negeri pada Julai ini.