
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menegaskan isu pertentangan antara Israel - Palestin bukan sebagaimana yang digambarkan media Barat berupa pertembungan antara agama Islam, Yahudi dan Kristian, sebaliknya adalah dasar penindasan apartheid rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.
Hal itu, katanya, amat jelas sebagaimana berlaku di Gaza dan Tebing Barat dalam wilayah Palestin yang menjadikan warga Arab sebagai manusia kelas kedua, dinafikan hak asasi dan berlaku pembersihan etnik.
"Mereka dihalang mendapatkan hal asasi malah dihalang untuk mendapatkan keadilan dan kebebasan sebagai sebuah negara yang merdeka.
"Dasar Apartheid, 'penyisihan' pernah dilaksanakan di Afrika Selatan dan ditamatkan dengan melalui desakan kuat dari masyarakat dan pimpinan dunia hingga mereka (bangsa pribumi) mencapai kemerdekaan pada tahun 1994.
"Hari ini, isu keganasan pemerintah Zionis Israel telah mencetuskan isu kemanusiaan. Ia jelas mencabuli hak asasi manusia. Tanah milik rakyat Palestin dirampas dan dijadikan penempatan orang-orang Yahudi. Insiden terkini adalah rampasan tanah dengan menggunakan kuasa mahkamah di kawasan penempatan Hayyu Syeikh Al Jarrah," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Zawawi menyeru agar rakyat Selangor terus menyokong perjuangan Palestin bagi mendapatkan semula tanah air mereka dan membebaskan diri daripada penjajahan Israel.
Menurut beliau, rakyat Selangor boleh membantu dengan apa cara sekali pun termasuk derma dengan amaun sekecil RM10 kepada saudara-saudara di Palestin yang ditindas dan dinafikan hak untuk mencari penghidupan.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk membantu umat Palestin mendapatkan semula hak yang dicabuli dan dirampas oleh Zionis Yahudi. Mereka berjuang dengan darah dan nyawa. Perjuangan mereka berpuluhan tahun dan ribuan yang menjadi pelarian di serata negara.
"Pengangguran di Palestin melebihi 50 peratus kerana semua laluan pintu masuk dikawal ketat oleh Israel. Bahkan nelayan juga tidak dibenarkan melepasi jarak yang ditetapkan menangkap ikan. Mereka hanya bergantung harap daripada bantuan antarabangsa meneruskan kelangsungan hidup. Sumbangan RM 10 mungkin kecil bagi anda tetapi besar maknanya bagi mereka.
"Kerajaan Negeri Selangor telah menyasarkan dana RM 1,000,000 untuk pembelian sebuah ambulan, tiga kenderaan pelbagai guna, Selangor Aid Truck (SELaid) dan pek barangan makanan untuk warga Palestin," katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang telah dilancarkan akan terus mendapat sokongan kewangan bagi merealisasikan sebarang perancangan membantu umat Palestin.
Comments