top of page

Isu infrastruktur asas masih menjadi keutamaan pengundi di Sabah - IDE

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 28 minutes ago
  • 2 min read

Dr Redzuan dalam sidang media Kajian Landskap Persepsi Rakyat Untuk PRN Sabah ke 17
Dr Redzuan dalam sidang media Kajian Landskap Persepsi Rakyat Untuk PRN Sabah ke 17

Oleh: Akmal Manaf


Isu infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan keadaan jalan raya menjadi keutamaan rakyat Sabah dalam membuat keputusan memilih wakil rakyat dalam pilihanraya, jauh mengatasi isu kos sara hidup yang menjadi kebimbangan utama pengundi seperti di Semenanjung.


Pengerusi IDE Research Centre, Senator Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, isu utama tersebut diperoleh hasil kajian yang dilakukan pihaknya di Negeri Bawah Bayu itu.


Namun katanya, hal berbeza di Semenanjung yang menyaksikan hampir semua kajian dilakukan menunjukkan isu utamanya adalah tentang kos sara hidup.


"Kedua, tentang kenaikan harga barang kemudian baru masalah pendatang, infrastruktur dan sebagainya. Kalau di Semenanjung mungkin tiada isu (infrastruktur) lagi, tapi rupanya di Sabah masalah seperti air, elektrik dan jalan raya merupakan isu besar.


"Maksudnya di sini, mana-mana parti yang bertanding dan dapat menjanjikan dua isu besar itu, maka parti tersebut akan mendapat kepercayaan rakyat.


"Bukan sahaja janji, tapi dapat meyakinkan bahawa isu tersebut dapat diselesaikan. Dalam erti kata lain, parti yang mampu untuk memberi jawapan kepada isu yang menjadi keperitan rakyat," katanya dalam sidang media 'Kajian Landskap Persepsi Rakyat Untuk Kesejahteraan dan Pembangunan Negeri Sabah'.


Bertemakan Nadi Sabah 2025: Suara rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kajian tersebut telah dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Kumpulan Penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pertubuhan Penyelidikan Sosial dan Komuniti (PPSK).


Sidang media itu diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Redzuan berkata, dapatan di Sabah itu merupakan indikator bahawa terdapat satu isu yang kritikal di negeri berkenaan yang masih belum diselesaikan meskipun negara telah merdeka berabad lamanya.


Ujarnya, rakyat Sabah tetap memberi perhatian kepada isu kos sara hidup seperti kenaikan harga barang, namun masalah infrastruktur menjadi keutamaan mereka.


"Apabila kami buat kajian, kita dapat lihat bahawa kawasan bandar nampaknya kurang prihatin terhadap isu infrastruktur.


"Sebagai contoh di kawasan bandar bahagian Pantai Barat, isu utama yang dibangkitkan ialah kos sara hidup, bukannya infrastruktur, peruntukan pembangunan atau autonomi.


"Mereka lebih matang dalam melihat isu-isu global yang lebih besar, tidak seperti di kawasan-kawasan pedalaman. Maksudnya di sini, kalau di Kota Kinabalu berkempen tentang gangguan elektrik, saya rasa rugi sahaja sebab di kawasan itu isu tersebut bukan keprihatinan utama.


"Ini (penting) bagi penggerak parti, mereka kena tengok. Saya sekadar membentangkan dan mereka boleh memikirkan apa yang terbaik. Ternyata kawasan pedalaman yang mempunyai isu utama berbeza dengan kawasan bandar," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page