Isu hina sultan: Sanusi cemar imej Menteri Besar - Dr Mujahid
- Suara Keadilan
- Jul 20, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan tindakan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang ghairah menghina pemimpin parti lain sebagai tidak membawa imej Menteri Besar.
Katanya sebagai pemimpin nombor satu negeri, Sanusi seharusnya dilihat sebagai individu yang menghormati undang-undang dan bukan sebaliknya.
"Imej MB mesti menjaga undang-undang tetapi sosok ini (Sanusi) dilihat tidak menghormati perundangan dengan menghina orang lain.
"Serta tanpa disedari atas keghairahannya, dia (Sanusi) telah menghina satu institusi (diraja) yang sangat dihormati di negara ini.
"Tambahan pula, orang yang membuat laporan itu bukan sahaja orang awam tetapi golongan yang telah mewakili pihak dari institusi dewan Diraja Selangor sendiri," katanya dalam forum Media Perpaduan, “Pertarungan Pertahan Maruah”, malam tadi.
Beliau berkata demikian mengenai laporan polis yang dibuat Ahli Dewan Diraja Selangor berhubung kenyataan Sanusi yang menghina institusi tertinggi itu dan membabitkan pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah pada 11 Julai lalu.
Dalam ucapannya Sanusi juga menghina beberapa pemimpin lain antaranya Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim dan MB Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari yang didakwa 'tidak cukup inci'.
Rentetan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berhubung ceramah terbabit.
Comentarios