Isu harta PM: Jangan heret rakyat ke kancah politik fitnah - Siti Aishah
- Suara Keadilan
- Jul 15, 2023
- 2 min read

Pemimpin politik negara ini diingatkan agar tidak mengheret rakyat ke dalam politik fitnah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail melalui satu kenyataan berkata politik tidak harus digambarkan begitu murah dengan membiarkan budaya fitnah menjadi asas politik.
"Cukuplah negara sekarang sedang berdepan dengan politik jumud yang dimainkan oleh mereka (pembangkang), jangan heret rakyat kepada situasi politik fitnah dengan gambaran bahawa sesiapa sahaja yang mampu menyerang Perdana Menteri sekiranya disaman akan dibantu untuk dipertahankan.
"Kritiklah semahunya dengan niat untuk menegur dan memperbaiki negara ini bersama," katanya dalam satu kenyataan.
Siti Aishah membuat kenyataan itu sebagai membidas Timbalan Pengerusi Biro Perundangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Shasha Lyna Abdul Latif yang mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk memfailkan laporan polis berbanding mengemukakan saman fitnah kepada individu yang didakwa memfitnahnya berkaitan isu kediaman peribadinya
Sasha berkata, Perdana Menteri sepatutnya memfailkan saman fitnah dan bukannya melibatkan polis dalam perkara itu.
Mengulas lanjut, Siti Aishah berpandangan, Perdana Menteri mengambil tindakan melaporkan isu tersebut kepada pihak polis kerana ia akan lebih menekankan soal pembentukan sahsiah insaniah agar fitnah tidak terus menjadi alat politik.
"Kritikan Shasha yang mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak menggunakan saman sivil sebagai tindakan jelas menunjukkan bahawa beliau bukanlah seorang pemimpin yang baik dalam memahami pentas politik negara.
"Jika kita bercakap soal keuntungan laba daripada menang saman pasti itulah jalan yang diambil oleh mana-mana pihak, namun saya yakin di pihak Perdana Menteri beliau lebih mahu menekankan soal pembentukan sahsiah insaniah.
"Ia agar perkara yang menyentuh sesuatu tanpa bukti asas yang akhirnya menimbulkan fitnah harus dikenakan tindakan yang sesuai supaya ia menjadi rujukan kepada masyarakat yang lain," ujarnya.
Peguam mewakili Anwar, Sankara Nair pada Khamis berkata, beliau menyarankan Perdana Menteri membuat laporan polis terhadap kenyataan fitnah dibuat Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Blogger Raggie Jessy Rithaudeen.
Langkah itu jelasnya bagi memberi pengajaran kerana kes itu akan dibicara di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara dan akan menjadi pengajaran kepada pemfitnah berbanding saman sivil yang bakal memakan masa bertahun lamanya untuk dibicarakan.
Komentarji