Isu 'ham': Harith Iskander, Cecelia Yap dikompaun RM10,000
- Suara Keadilan
- Mar 6
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pelakon dan pelawak, Harith Iskander serta Cecelia Yap dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya itu menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, tindakan kompaun itu atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook yang dilakukan mereka pada 18 Januari 2025.
"MCMC telah menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang.
"Tindakan kompaun ini dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multiedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Febuari 2025," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Cecelia yang didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu 'ham' baru-baru ini tampil memohon maaf.
Cecelia menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co menyatakan amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial.
Harith, 54, Pula didakwa memuat naik hantaran di Facebooknya dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi berharga RM5.50.
Sementara itu MCMC dalam kenyataan sama memaklumkan, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.
Selain itu permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat dan kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta
Comments