
Gelandangan di kota raya Kuala Lumpur menjadi masalah yang serius berikutan pandemik Covid 19 dan kejatuhan ekonomi.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai (gambar, baju putih, tengah), isu tersebut semakin parah apabila gelandangan sebahagian besarnya adalah warganegara Malaysia dan bukannya warga asing sebagaimana pernah digembar-gemburkan sebelum ini.
Katanya, KEADILAN Wilayah telah mengumpulkan sukarelawan dan berusaha memberi bantuan sejak beberapa bulan lalu. Bagaimanapun mendapati jumlah gelandangan semakin meningkat.
"Pelbagai inisiatif telah dijalankan, namun golongan gelandangan bertambah saban hari. Mungkin perlu pemimpin-pemimpin kerajaan datang untuk melihat sendiri mereka yang hidup dalam keadaan daif, iaitu datang tanpa kehadiran jentera kerajaan dan media.
"Semua inisiatif sumbangan ketika ini adalah daripada pihak swasta, tiada kelihatan mana-mana pertolongan dari kerajaan," katanya.
Menurut Andre lagi, banyak NGO menghulurkan sumbangan pada sebelah malam. Misalnya ketika beliau memberi sumbangan bersama rakan-rakan pada 5 Disember lalu, mereka turut terserempak dengan NGO Voices of Pandan dan KEADILAN Gombak yang melakukan aktivti serupa.
“Saya amat bangga dengan aktiviti anak muda ini – semuanya inisiatif sendiri. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga mereka ini yang sering berada di hadapan bersama kami, jauh lebih efektif daripada jentera kerajaan,” kata Andre Lai yang merupakan Ketua KEADILAN Cabang Wangsa Maju.
Sebelum ini beliau dan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, Ahli Palimen Wangsa Maju pernah mengusahakan lebih daripada 2,000 sumbangan makanan kepada rakyat yang terkandas sepanjang tempoh PKP.
Pada malam itu, ketua rombongan, Shahffeq Ekhwan yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pandan berkata, mereka telah membuat edaran bantuan kepada 250 gelandangan.

“Kami mengedarkan pek makanan, sanitizer dan pelitup muka dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Masjid India. Tapi baru-baru ini jumlah gelandangan bertambah semakin ramai. Ia amat membimbangkan,” katanya.
Harcharan Singh, ahli KEADILAN Wangsa Maju yang bekerja di kawasan sekitar mengesahkan kenyataan Shahffeq.
“Selama saya bekerja di kawasan ini selama 10 tahun, saya hanya melihat sukarelawan daripada parti politik (pembangkang) dan NGO dari luar datang menolong mereka. Memang betul, jumlah gelandangan semakin bertambah saban hari,” katanya.
Bagi Andre Lai, statistik bahawa 100,000 pekerja telah kehilangan pekerjaan sepanjang 2020 akan lebih meningkatkan jumlah gelandangan pada 2021.
Katanya, sekiranya kerajaan tidak merangka satu polisi khas menangani gelandangan pada tahun hadapan maka keadaan akan semakin sukar dikawal.