Isu gas LPG selesai: Undang undang bakal dipinda, peniaga kecil tidak terjejas
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read
Updated: 2 days ago

Isu gas memasak atau gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi telahpun selesai hari ini apabila Jemaah Menteri bersetuju untuk meminda undang undang terkait peraturan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang telah digubal pada 2021 oleh kerajaan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, dan telah berkuatkuasa pada 15 Okt 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Ali, berkata pindaan itu akan memperbaiki ketidakjelasan peraturan sedia ada yang meletakkan had sekatan kepada penyimpanan, pemilikan dan penggunaan LPG bersubsidi kepada 42 kg pada satu satu masa - iaitu 3 tong 14kg - yang mensyaratkan sesiapa menyimpan, mengguna, memiliki LPG lebih 42kg memerlukan memohon permit barang kawalan.
"Kabinet telah bersetuju supaya peraturan tersebut dipinda. Antara dua teras utama pindaan yang akan dilaksanakan itu, pertama ambil kira keperluan peniaga jualan dan makanan berskala mikro dan kecil.
"Kedua, adalah untuk kita memastikan kejelasan undang undang untuk pastikan wujud keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan undang undang," katanya dalam sidang media bersama Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil di Putrajaya tengah hari tadi.
Tegas Armizan, Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa semakan pindaan akan dibuat oleh satu jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan pada 1 Mei 2025 dan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN sendiri.
"Jawatankuasa ini melibatkan wakil pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, termasuk untuk mendapatkan pandangan pemegang taruh," katanya.
Selain itu, kata beliau, mesyuarat Jemaah Menteri juga memperakukan supaya sepanjang tempoh operasi gas memasak atau Ops Gasak sehinggalah dimuktamadkan pindaan peraturan kawalan bekalan tersebut maka tiada tindakan akan diambil kepada peniaga makro dan kecil.
"Pertama tidak ada sebarang tindakan undang undang diambil terhadap perniagaan jualan dan makanan berkskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bagi keperluan premis perniagaan masing masing.
"Kedua, para peniaga makro dan sederhana dibenar guna tong LPG tanpa permit barang kawalan berjadual. Peniaga terlibat boleh terus menggunakan tong LPG subsidi walaupun mereka tidak punya permit barang kawalan," katanya.
Dalam pada itu Kabinet juga, kata Armizan, memutuskan Ops Gasak diteruskan bagi membanteras aktiviti pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi, dan kedua membanteras penggunaan LPG bersubsidi oleh pihak industri.
Comments