Tindakan Lembaga Disiplin dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN memecat atau menggantung keahlian beberapa ratus anggotanya tidak harus dijadikan isu sehingga menggugat perpaduan parti.
Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap tindakan yang diambil terhadap seseorang ahli telah melalui proses keadilan yang mencukupi serta memenuhi standard.
Sedangkan, katanya, parti dalam perlembagaannya mempunyai Fasal 41(6) yang boleh memecat atau menggantung keanggotaan secara serta merta. Fasal ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli, khususnya berhubung surat tunjuk sebab yang dikatakan tidak dihantar terlebih dahulu.
"Dalam perlembagaan parti ada Fasal 41(6). Jarang sepanjang 20 tahun ini kita gunakan. Fasal 41(6), MPP boleh gantung serta merta secara sementara terhadap anggota sehingga Lembaga Disiplin mengadili kes.
"Fasal 41(7) pula MPP boleh pecat serta merta. Tak perlu tunjuk sebab, Lembaga Disiplin semua. Misalnya keadaan pada pilihan raya, ada anggota parti bertanding sebagai calon Bebas. (Dalam hal ini) tidak perlu tunjuk sebab dan proses pengadilan.
"Azmin dan Zuraida terbukti melakukan pengkhianatan. MPP bersidang selepas beberapa hari pengkhianatan, maka kita pecat mereka serta-merta," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Saifuddin, selama ini fasal tersebut jarang digunakan kerana tidak menghadapi situasi luar biasa sebagaimana yang berlaku pada Februari lalu.
"(Selama ini) KEADILAN parti yang agak longgar disiplinnya. Di satu sisi kita kata perlu ada kebebasan bersuara sampai tidak boleh dikenakan tindakan.
"Kalau nak kena tindakan mesti dengan proses tertentu. Itu keadaan biasa. Apa yang parti lalui baru-baru ini episod pengkhianatan. Bukan saja kesan pada parti tetapi jatuh sebuah kerajaan yang diberi mandat secara demokratik.
"Keadaan luar biasa ini perlukan langkah luar biasa. Cuma kita tidak berkompromi dari segi prinsip, sesuatu tuduhan harus dibuktikan (secara nyata)," tambah beliau.
Selain itu, katanya, proses penggantungan keanggotaan juga dilakukan bagi mengurangkan kerosakan kepada parti sehinggalah ahli tersebut selesai disiasat atau dihukum.
"Gantung (keahlian) berjalan serta merta tetapi bersifat sementara. Ini perlu kerana episod pengkhianatan baru-baru ini bukan berlaku 23 Februari. Perancangannya lama, bertahun. Ia menerima sokongan dari anggota biasa, peringkat Cabang, Negeri dan sebagainya.
"Parti sedar tetapi tidak bertindak setegas sekarang. Sekarang dua pemimpin pengkhianat telah dipecat maka banyak laporan kita diterima. Maka parti guna 41(6)
"Ada juga yang umum keluar parti. Perlembagaan 91(c) dan (d) menyebut jika seseorang anggota umum keluar dengan sendiri keanggotaannya terlucut. Kumpulan pertama 268 orang dipecat terdiri daripada mereka yang umum keluar dalam media sosial dan sebagainya.
"Anggota parti buat aduan. Mereka terpecat. Tidak perlu surat tunjuk sebab. Ada juga pergantungan. Kerana parti menimbangkan mereka memegang jawatan. Ada Exco, Ahli Majlis, ketua kampung dan lain-lain.
"Bila gantung mereka tidak boleh memegang jawatan atas nama parti. Sementara diambil tindakan mereka ada jawatan, maka (dikhuatiri) boleh melemahkan parti," katanya lagi.
Saifuddin turut menolak protes mengatakan Lembaga Disiplin atau MPP kejam dalam membuat keputusan sebagaimana disuarakan oleh segelintir ahli.
"Mereka yang menyuarakan protes tahu apa mereka buat. Kononnya musim Covid ini parti lakukan pembersihan.
"Saya katakan, anggota parti hampir 1 juta. Kita pecat pusingan pertama 268 orang, kumpulan kedua 56 orang. Kita gantung kumpulan pertama 212 dan kedua 96 orang. Lebih kurang 600 daripada 1 juta anggota. Kejam apa?" tanyanya.
Baru-baru ini tular berita kononnya KEADILAN semakin lemah berikutan pemecatan anggota. Begitu juga protes daripada beberapa pimpinan mendakwa parti tidak mengenang jasa beberapa anggota yang telah berjuang sejak dua dekad lalu.
Namun tegas Saifuddin, kelangsungan dan kewujudan parti sangat bergantung kepada disiplin anggotanya. Parti mempertahankan prinsip tersebut dalam mengambil tindakan.
top of page
PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA
Title | Jumlah Kes | Kematian | Pulih |
---|---|---|---|
Kes Baru | 8,075 | 76 | 15,456 |
Total | 2,285,640 | 26,759 | 2,116,021 |
Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia
PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA
Title | Jumlah Kes | Kematian | Pulih |
---|---|---|---|
Kes Baru | 393,631 | 6,015 | 582,401 |
Total | 236,060,214 | 4,821,346 | 211,396,635 |
Sumber dari WHO (World Health Organization)
bottom of page
Comments