Isu dalaman MTUC belum selesai punca tiada wakil di ILC - Kesuma
- Suara Keadilan
- Jun 8
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menafikan dakwaan kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja dalam Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland.
Sebaliknya kementerian itu menjelaskan, ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi rasmi Malaysia berpunca daripada isu dalaman Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), iaitu badan induk kesatuan sekerja terbesar di negara ini.
"Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 telah mengarahkan MTUC menjalankan pemilihan semula barisan kepimpinan dalam tempoh 90 hari, dikendalikan Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).
"Namun, pemilihan yang sepatutnya berlangsung pada Mei 2025 ditangguh ke 10 Ogos 2025, menyebabkan MTUC kini tidak mempunyai kepimpinan yang sah untuk mewakili pekerja ke mana-mana platform rasmi, termasuk ke ILC.
"Justeru, tuduhan bahawa kerajaan sengaja menyekat suara pekerja adalah tidak berasas, mengelirukan dan bersifat berniat jahat," kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menjelaskan JBK yang ditubuhkan hanya diberi mandat mengendalikan pemilihan semula, dan tidak mempunyai kuasa untuk mencalonkan wakil ke forum antarabangsa, tambah Kesuma.
Cubaan JBK untuk menamakan wakil ke ILC juga telah dibantah oleh beberapa ahli gabungan MTUC sendiri.
"Kementerian menegaskan bahawa pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus, berpandukan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan berdasarkan nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status semasa MTUC.
"Kesuma juga mengulangi komitmen kerajaan terhadap prinsip tripartisme, serta menjunjung hak penyertaan kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform rasmi, termasuk di peringkat antarabangsa," ujar kenyataan tersebut.
Kesuma turut menyeru agar MTUC segera menyelesaikan proses pemilihan semula bagi memastikan penyertaan wakil pekerja dapat disertakan dalam delegasi Malaysia ke ILC tahun hadapan.
Comentários