Isu China-Taiwan: Pas lantang ulas 'isu jauh', RCI Tabung Haji diam membisu
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Pas lebih lantang mengulas isu hubungan Malaysia-China dan Taiwan yang jauh beribu kilometer berbanding menyatakan pendirian berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di depan mata, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar).
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, pendirian Malaysia berhubung isu China dan Taiwan kekal konsisten sejak zaman Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan tidak pernah berubah.
Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan media antarabangsa baru-baru ini adalah selari dengan pendirian dasar luar negara yang dipegang Wisma Putra sejak sekian lama.
"Tidak benar (dakwaan Takiyuddin). Saya melihat ada dua perkara... pertama, pendirian Malaysia mengenai isu berkenaan adalah sejak zaman Almarhum Tun Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.
"Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi, tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu," katanya dipetik BH pada Program Kenduri Rakyat MADANI, di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilaporkan mendakwa kenyataan Anwar mengenai isu berkenaan meletakkan Malaysia pada kedudukan diplomatik yang sukar dan menyempitkan ruang diplomasi.
Bagaimanapun, Fahmi melahirkan rasa kesal apabila pembangkang dilihat lebih banyak memberikan komen mengenai isu luar negara sedangkan pendirian terhadap isu tempatan yang menyentuh kepentingan umat Islam yang 'diperjuangkan' Pas, khususnya RCI Tabung Haji, tidak kedengaran.
"Yang saya kesal... kenapa pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan daripada Pas dalam bab yang jauh dari kita, banyak komentar tetapi yang sangat dekat dengan kita termasuk TH, kita tidak mendengar sepatah pun sebenarnya pendirian mereka mengenai isu kerosakan yang telah berlaku sebagaimana terkandung dalam Laporan RCI TH," katanya.
Menurut beliau, laporan RCI berkenaan telah mendedahkan kerosakan serta ketidakcekapan dalam pengurusan akaun dan pelaburan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2017, termasuk kerugian yang membabitkan jutaan ringgit.
Fahmi turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan laporan RCI berkenaan berlangsung.
"Saya berharap mereka dapat melebihkan masa menelaah dan membahaskan perkara itu kerana mereka telah lari dari Dewan Rakyat ketika rakyat mengharapkan pihak pembangkang membahas," katanya.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang berusaha memulihkan semula Tabung Haji sebagai institusi penting umat Islam supaya kembali berada pada kedudukan yang sewajarnya.
Katanya, usaha pemulihan institusi itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia melibatkan kepentingan dan amanah jutaan pendeposit Tabung Haji.




Comments